TIDUR merupakan keperluan asas tubuh manusia, namun ramai yang memandang remeh tentangnya.
Tidur yang berkualiti bukan sahaja membantu tubuh pulih daripada keletihan harian, malah turut menyokong fungsi otak, sistem imun dan kesejahteraan keseluruhan.
Satu kajian oleh penyelidik di University of Miami mendapati tidur lebih daripada sembilan jam setiap malam mungkin berkait dengan pengecutan saiz otak.
Kajian itu dibuat ke atas individu dewasa yang berketurunan Hispanik.
Menerusi kajian itu, mereka mendapati bahagian penting dalam otak seperti kawasan yang mengawal ingatan dan tumpuan menjadi lebih kecil jika seseorang tidur terlalu lama setiap malam.
"Penemuan ini mengukuhkan kepentingan tempoh tidur terhadap penuaan otak, serta kaitannya dengan kemerosotan kognitif dan kesihatan fizikal.
"Kajian tidur amat penting khususnya bagi masyarakat Hispanik, yang mempunyai risiko empat kali ganda lebih tinggi untuk menghidap penyakit Alzheimer dan demensia berkaitan, berbanding individu kulit putih bukan Hispanik," kata Profesor Klinikal Neurologi dan Pengarah Penyelidikan Program Gangguan Tidur, Dr Alberto Ramos.
Ada segelintir individu yang boleh tidur sepanjang hari tanpa melakukan aktiviti lain. -Gambar hiasan
Dr Ramos juga merupakan penyelidik utama inisiatif kebangsaan Sleep in Neurocognitive Aging and Alzheimer’s Research (SANAR).
Selain itu, Dr Ramos merupakan penulis utama bagi kajian bertajuk Sleep Duration and Brain MRI Measures: Results from SOL-INCA MRI Study yang diterbitkan dalam jurnal Alzheimer’s & Dementia.
Dalam kajian kolaboratif ini, para penyelidik merekrut seramai 2,334 peserta Hispanik berusia antara 35 hingga 85 tahun untuk menjalani imbasan neuro dan seterusnya melaporkan sendiri tempoh tidur mereka.
Hasil daripada MRI, penyelidik mendapati tidur yang lebih lama dikaitkan dengan jumlah saiz otak yang lebih kecil, terutamanya dalam kalangan mereka berumur 50 tahun ke atas.
"Salah satu penjelasan yang mungkin adalah tempoh tidur yang panjang menjadi penanda kepada masalah kesihatan kardiovaskular atau psikologi yang mendasarinya,” kata Dr Ramos lagi.
Dia turut menyatakan kajian tersebut melengkapi penyelidikannya sebelum ini yang menunjukkan tempoh tidur yang panjang meramalkan kemerosotan kognitif, menandakan perubahan otak dari segi fungsi (kognitif) dan struktur (saiz) dalam kumpulan berisiko ini.
"Jangan abaikan corak tidur yang tidak normal. Ia mungkin petanda kepada masalah kesihatan yang perlu dirawat segera, bukan ditangguhkan,” katanya.