suria

Apa kaitan saiz hidung dengan alat kelamin lelaki? Penyelidik Jepun ada jawapannya

Kajian dapati hidung menjadi petunjuk kepada saiz zakar lelaki. -Gambar hiasan AI

SATU kajian baharu oleh penyelidik di Jepun menunjukkan saiz hidung mempunyai kaitan yang signifikan dengan zakar lelaki. 

Penyelidik di Kyoto Prefectural University of Medicine menganalisis data autopsi daripada 124 lelaki, mengukur pelbagai bahagian tubuh dan membandingkannya dengan 'stretched penile length' iaitu panjang zakar ketika diregangkan secara perlahan semasa lembik.

Ia sekali gus menepis mitos lama yang sering menganggap tapak kaki dan tangan sebagai petunjuk kepada saiz zakar seorang lelaki.

Hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal Basic and Clinical Andrology itu mencadangkan saiz hidung mungkin merupakan petunjuk fizikal yang lebih tepat.

Lelaki dengan hidung yang lebih besar mempunyai purata panjang zakar sekitar 5.3 inci (13.5 cm), manakala mereka yang berhidung lebih kecil mencatatkan purata sekitar 4.1 inci (10.4 cm).

Pasukan penyelidik berkata perbezaan ini tidak berkait dengan ketinggian, berat atau usia, sekali gus memberi bayangan bahawa hubungan tersebut mungkin dipengaruhi faktor perkembangan yang berlaku sebelum lahir.

“Hubungan antara saiz hidung dan panjang zakar mencadangkan bahawa pendedahan hormon lelaki semasa perkembangan janin boleh mempengaruhi kedua-dua ciri ini.

Saiz alat sulit yang terlalu kecil boleh menyebabkan bakal pengantin kurang keyakinan diri. -Gambar hiasan AI

“Persekitaran pranatal mungkin memainkan peranan lebih besar berbanding pertumbuhan selepas baligh,” kata ketua penyelidik, Dr Hiroshi Ikegaya. 

Rena Malik, pakar urologi yang berpangkalan di Beverly Hills, turut merujuk kajian tersebut dan berkata kepercayaan tradisional yang mengaitkan saiz zakar dengan tangan atau kaki tidak mempunyai bukti saintifik kukuh.

Dia berkata penemuan itu penting kerana panjang hidung merupakan satu-satunya ukuran tubuh yang menunjukkan korelasi statistik jelas.

Kajian lain turut mengaitkan nisbah jari dengan perkembangan genital.

Satu kajian oleh Profesor Kim Tae-beom dari Gachon University di Korea Selatan yang diterbitkan dalam Asian Journal of Andrology mendapati lelaki yang mempunyai jari manis lebih panjang daripada jari telunjuk cenderung memiliki zakar lebih panjang secara purata.

Penyelidik mengaitkannya dengan pendedahan testosteron dalam rahim yang mempengaruhi kedua-dua nisbah jari dan pertumbuhan genital.

Pakar berkata saiz zakar mungkin lebih daripada sekadar rupa bentuk kerana ia boleh mencerminkan isyarat hormon dan kesihatan perkembangan yang bermula sejak peringkat janin.

Artikel ini pertama kali diterbitkan oleh The Korea Times.

Artikel Lain