TREND mengambil suntikan untuk menurunkan berat badan semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia, namun orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpengaruh tanpa memahami risikonya.Pakar Perunding Kardiologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Ika Faizura Mohd Nor berkata suntikan berkenaan bukanlah ‘ubat ajaib’ untuk kurus dengan cepat, sebaliknya perlu digunakan secara berhati-hati dan di bawah pemantauan doktor. “Suntikan ini berfungsi dengan mempengaruhi hormon yang mengawal selera makan dan paras gula dalam darah. "Ia membuatkan seseorang cepat kenyang dan makan dalam kuantiti lebih kecil,” jelasnya.Namun katanya, ubat tersebut tidak membakar lemak secara langsung, sebaliknya hanya membantu mengawal selera makan.Suntikan kurus perlu dilakukan di bawah pemantauan doktor. -Gambar hiasan AIDr Ika Faizura berkata, keberkesanan suntikan ini berbeza antara individu bergantung kepada gaya hidup, pemakanan, tahap aktiviti fizikal dan keadaan kesihatan.“Ada yang turun berat badan dengan ketara, ada juga yang hanya turun sedikit. "Jika tidak disertai perubahan gaya hidup, kesannya biasanya (bersifat) sementara,” katanya.Jelasnya lagi, ubat ini sebenarnya dibangunkan untuk pesakit diabetes jenis dua dan kesan penurunan berat badan ditemui sebagai manfaat tambahan.Di Malaysia, ubat suntikan ini dikawal oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan hanya boleh diperoleh melalui preskripsi doktor.“Penggunaan tanpa pemantauan perubatan sangat berbahaya. Ia boleh menyebabkan loya teruk, muntah, dehidrasi, paras gula rendah dan masalah buah pinggang,” jelasnya.Tambahnya, penurunan berat badan yang terlalu cepat juga boleh memberi tekanan kepada jantung, terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung atau darah tinggi.Menurut Dr Ika Faizura, ramai tidak menyedari bahawa berat badan boleh naik semula selepas suntikan dihentikan.“Apabila ubat dihentikan, selera makan akan kembali seperti biasa. Jika gaya hidup tidak berubah, berat badan boleh naik semula dan ada yang lebih berat daripada sebelumnya,” katanya.Keadaan ini boleh memberi kesan buruk kepada metabolisme dan kesihatan jantung dalam jangka panjang.Beliau menegaskan suntikan ini bukan rawatan kosmetik dan tidak sesuai untuk mereka yang hanya mahu kurus dengan cepat.“Ia sesuai untuk pesakit yang benar-benar mempunyai masalah obesiti atau risiko penyakit berkaitan berat badan, dan mesti digunakan bersama pemakanan sihat serta gaya hidup aktif.“Kesihatan jantung lebih penting daripada turun berat badan secara cepat. Ubat boleh membantu, tetapi ia bukan pengganti kepada gaya hidup sihat,” katanya.Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat doktor sebelum mencuba sebarang rawatan penurunan berat badan.