suria

Musim pickleball tengah ‘hype’, tapi ramai tak puas hati... Rupanya main salah gelanggang!

Permainan pickleball semakin mendapat tempat di Malaysia.

SUKAN yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan pingpong yang dikenali sebagai pickleball kini menjadi fenomena global termasuk di Malaysia. 

Dengan peraturan yang ringkas serta sesuai untuk semua peringkat umur dan kemahiran, tidak hairanlah pickleball semakin mendapat tempat di hati peminat sukan.

Permainan ini boleh dimainkan secara perseorangan atau beregu, di mana pemain perlu memukul bola plastik berlubang menggunakan paddle sehingga melepasi jaring.

Konsep permainan ini dikatakan hampir sama seperti badminton dan tenis, menjadikannya satu aktiviti yang cukup menghiburkan.

Selain memerlukan strategi yang baik, sukan ini turut menguji ketepatan dan kepantasan refleks pemain.

Namun, di sebalik popularitinya tidak semua pihak menerima kehadiran sukan ini dengan 'tangan terbuka'.

18409649

Sukan pickleball sesuai untuk semua peringkat usia.

Pickleball cetus kontroversi

Walaupun semakin ramai yang teruja mencuba sukan ini, terdapat juga segelintir masyarakat yang meluahkan rasa kurang senang. 

Ada beranggapan pickleball sebagai sukan eksklusif untuk golongan berpendapatan tinggi (T20) kerana kosnya yang mahal, sekali gus menyukarkan golongan B40 turut serta.

Selain itu, kewujudan pickleball di gelanggang tenis dan badminton juga menimbulkan perdebatan di media sosial. 

Isunya, seorang individu meluahkan rasa kecewa mengenai permukaan gelanggang tenis yang rosak akibat penggunaan pita pelekat bagi menandakan garisan permainan pickleball.

Luahan tersebut mendapat sokongan ramai, terutama pemain tenis yang berpendapat jumlah gelanggang tenis sedia ada di negara ini tidak banyak.

Oleh yang demikian, rata-rata mereka berharap peminat sukan lain menghormati ruang permainan sedia ada.

Isu mengenai gelanggang tenis rosak di media sosial.

Kos untuk bermain pickleball

Bagi yang berminat untuk mencuba sukan ini, anggaran kos paddle bagi pemain baharu adalah sekitar RM50 hingga RM200, manakala paddle gred profesional boleh mencecah lebih ribuan ringgit.

Daripada segi bayaran sewaan gelanggang, harga yang dikenakan adalah sekitar RM50 hingga RM100 untuk satu jam, bergantung kepada lokasi dan kemudahan disediakan.

Senarai lokasi tempat bermain pickleball 

Jika mahu mencuba sukan ini, berikut adalah beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang yang menyediakan gelanggang pickleball khusus untuk anda.

1. Pickleball IOI, Putrajaya

2. DINKiT Pickleball, Kota Kemuning, Shah Alam

3. Pickle Point, Damansara, Selangor

4. Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Kuala Lumpur

5. Pickle Social Club, Kuala Lumpur

6. Pickle and Fig, Taman Tun Dr Ismail, Selangor

7. Pickle Lah, Cheras, Kuala Lumpur

8. Double Bounce, Semenyih, Selangor

Artikel Lain