suria

Influencer TikTok hampir disengat kala jengking, diganggu ular hitam depan rumah!

Lokasi kemalangan sering menjadi tumpuan kebanyakan individu yang gemar merakam gambar dan video. -Gambar hiasan

SUDAH menjadi trend masa kini, siapa terlebih dahulu update di media sosial, dialah yang paling hebat.

Maka tidak hairanlah apabila ramai yang berlumba-lumba untuk mendapatkan 'takhta' FYP (for your page) di platform TikTok.

Malah demi populariti, ada yang sanggup mengetepikan adab susila seterusnya membuka aib orang lain.

Perkara sama dilakukan Anisah kerana cita-citanya ingin mendapatkan pengikut yang ramai di media sosial selepas meluahkan hasrat untuk berhenti kerja sebagai kerani kewangan di sebuah syarikat di Seri Kembangan, Selangor.

Darah muda yang mengalir dalam tubuhnya membuatkan dia berani untuk menjejakkan kaki di lokasi-lokasi kemalangan yang berlaku berhampiran tempat tinggalnya meskipun melibatkan kematian.

Gangguan sihir boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah tidur. -Gambar hiasan

Gangguan sihir boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah tidur. -Gambar hiasan

Kebiasaannya, Anisah mengambil gambar dan video kemalangan yang berlaku untuk dikongsikan di media sosial.

Sejak kebelakangan ini Anisah menjadi lebih agresif apabila dia semakin berani berkongsi gambar kemalangan melibatkan keadaan mangsa tanpa mengaburkan wajah atau kesan kecederaan.

Tambahan pula terdapat permintaan dan galakan daripada pengikut yang meminta dia berkongsi video berkaitan keadaan mangsa.

Bermula dengan insiden motosikal biasa, Anisah mula merakam keadaan mangsa kemalangan maut yang mengerikan seperti tersepit dalam kenderaan mahupun digilis treler.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera tersewa rumah bunian, nampak kelibat wanita berkebaya di tangga... Tinggal solat punca 'ditegur'

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis buat OT sampai tengah malam rebah dalam tandas, terkejut nampak kelibat ‘cleaner’ Indonesia tanpa kepala!

Perkongsian itu membuatkan jumlah pengikutnya bertambah sehingga mencecah ratusan ribu pelayar.

Semakin rancak berkongsi video dan gambar, Anisah tidak menyangka dia akhirnya terkena badi salah seorang mangsa kemalangan.

Pada awalnya, dia menganggap gangguan ular hitam, lipan bara dan kala jengking yang selalu memasuki kawasan rumahnya adalah kebetulan.

Namun selepas dia hampir disengat kala jengking dan kerap bermimpi dikejar lembaga berwajah hodoh, Anisah mula bercerita kepada rakan serumahnya, Rania.

Apa yang menghairankan adalah Rania tidak pernah melihat kesemua haiwan berbisa itu.

"Aku tak pernah lagi nampak haiwan berbisa yang kau cakapkan tu... mungkin ada yang mengganggu atau kau terkena badi mayat.

Wanita cenderung diganggu perkara misteri. -Gambar hiasan

Wanita cenderung diganggu perkara misteri. -Gambar hiasan

"Kan aku dah pesan supaya kau berhati-hati dan tak mendekati mangsa, manalah tahu ada yang mempunyai jin atau mengamalkan perkara tidak baik," luah Rania cuba menasihati rakannya itu.

Gangguan berterusan yang diterima membuatkan Anisah mula mengurangkan aktivitinya ke lokasi kemalangan dan berkongsi video atau gambar di media sosial.

Bimbang situasi aneh terus menghantuinya, Anisah mula mendapatkan rawatan daripada seorang ustazah yang dikenalkan Rania.

Kepada ustazah dia menceritakan apa yang berlaku dan dialami sehinggalah kejadian hampir disengat kala jengking.

Susulan itu, ustazah menyatakan dia terkena badi mayat yang mengamalkan ilmu hitam serta mempunyai qarin (teman atau pendamping).

Bagaimanapun, ustazah menyatakan bahawa gangguan yang dialami itu bukanlah kerana ingin mencari 'tuan' baharu sebaliknya mahu Anisah memadam semua gambar dan video kemalangan yang dimuat naik ke laman sosial.

Terpaksa akur dengan perkara tersebut, Anisah akhirnya memadam semua gambar dan video kemalangan kerana tidak mengetahui mangsa yang mana mengamalkan ilmu hitam seperti dinyatakan ustazah.

Malah dia turut menyahaktif akaun TikTok serta beberapa media sosialnya.

Artikel Lain