BAYANGKAN secara tiba-tiba pergelangan tangan dan jari-jemari bergerak tanpa pemilik tubuhnya melakukan pergerakan sedemikian.
Demikian detik cemas yang dihadapi seorang wanita menggunakan akaun @umi_azwan di media sosial ketika berkhemah di sebuah lokasi riadah di Hulu Langat, Selangor, awal Mei lalu.
Dalam perkongsian di laman sosial, wanita tersebut berkata kejadian berlaku ketika dia mahu membersihkan diri di bilik air yang disediakan di tapak perkhemahan berkenaan.
"Kami camping Sabtu dan Ahad, satu malam je. Ahad kami berkemas awal sebab nak ke tempat lain. Pukul 12 lebih, aku nak pergi mandi.
"Aku bawa baju, tuala dan toiletries. Ketika masuk dalam toilet, masa ni aku rasa lain... macam tiba-tiba rasa loya. Aku abaikan rasa tu.
"Masa aku toleh ke tangan kiri sebab nak ambil tuala, aku Nampak pergelangan tangan dan jari jemari aku bergerak seperti orang memanggil-manggil tu," ceritanya.
Pengunjung yang beriadah di kawasan hutan disarankan menjaga percakapan serta tingkah laku. -Gambar hiasan
Kejadian tersebut membuatkan dia terpaku namun dalam masa yang sama otaknya ligat berfikir kemungkinan kejadian tersebut berkaitan dengan penyakit.
"Aku tak boleh control (tangan kiri). Risau collapse atau kejang dalam toilet tu, aku keluar sambil memanggil adik ipar. Aku memanggil dengan cuak," kongsinya.
Menurut wanita itu, adik iparnya yang dikenali sebagai Nana meluru ke arahnya sambil bertanya mengenai kejadian yang berlaku.
Dia pun bercerita insiden 'aneh' dialami sambil menunjukkan tangannya namun apa yang menghairankan, adik iparnya menafikan perkara tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki pandu Volkswagen kuning tolong tukar tayar, wanita menggigil lepas cakap telefon dengan pemandu trak tunda
"Sambil pegang dan urut tangan aku, katanya... kak Umie relaks! Istighfar, baca ayat Kursi'. Masa ni ayat Kursi pun aku dah lupa. Yang keluar dari mulut aku Allahuakbar, Allah, Allah.
"Ini yang aku sebut sambil menampar-nampar muka sendiri. Lama sikit aku agak tenang dan tengok tangan aku dah tak bergerak-gerak.
"Tapi apa yang aku rasa, pergelangan tangan, jari jemari, tapak tangan kebas sekebas-kebasnya. Hilang 100 peratus deria sentuhan tu.
"Lepas Maghrib aku pergi klinik dan ceritakan kepada doktor. Yang kebas tu mungkin disebabkan saraf tersepit. Tapi yang tangan bergerak tu doktor tak boleh explain. Doktor cakap benda berlaku dalam hutan, dan gangguan makhluk halus tu memang wujud," tulisnya.
Menurutnya lagi, dia hanya menyedari insiden aneh tersebut selepas meneliti video di telefon bimbit dan beranggapan apa yang berlaku mungkin berkait dengan kata-katanya dalam salah satu video yang dirakam di lokasi perkhemahan.
Hanya segelintir individu dikurniakan kebolehan melihat alam bunian. -Gambar hiasan
Menerusi video tersebut, dia menegur tapak perkhemahan mereka seolah-olah seperti perkampungan bunian kerana suasana diselubungi asap selepas adik iparnya membakar ubat nyamuk.
"Niat saya hanya mengutarakan apa yang saya rasa. Saya tak kutuk atau cakap yang buruk. Yang pasti tempat tu memang cantik," ujarnya lagi.
Video berkenaan yang dikongsikannya juga mengundang perhatian netizen yang mengakui melihat 'penampakan' entiti bertongkat di seberang sungai.
"Memang ada pun dekat situ, duduk perhati tukang rakam. Dekat sebelah pokok pegang tongkat tinggi.
"Saya nampak jelas dia pegang tongkat tangan kiri. Jaga adab mulut dan tingkah laku masa kita pergi tempat yang tak pernah pergi. Jangan sesekali nampak benda pelik, terus ambil.
"Seberang tu... ada yang memerhati," komen netizen.
Sehingga kini video yang dikongsikan wanita tersebut meraih lebih 251,500 jumlah tontonan.