suria

Perunding kewangan beri 9 sebab KRU masih jadi fenomena, nasihat usahawan tiru formula bisnes

KRU merupakan antara band muzik yang turut berjaya sebagai ahli perniagaan.

SEBUT sahaja KRU, rata-rata individu yang lahir pada tahun 80an dan 90an mengenali kumpulan ini yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tanah air.

Membawakan irama muzik unik, penampilan futuristik dan lirik yang dekat dengan jiwa remaja ketika itu, KRU bukan sahaja menjadi pelopor muzik pop dan hip hop tempatan, malah turut melahirkan banyak karya 'evergreen'.

Biarpun ramai penyanyi atau band muzik baharu muncul seiring peredaran masa, jenama KRU masih kukuh dan nilai nostalgia yang mereka cipta selama ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu legasi.

ARTIKEL BERKAITAN: 6 cara mudah dan pantas jana pendapatan untuk individu hilang kerja mengejut, ada keluarga perlu disara

Kembalinya kumpulan dianggotai tiga adik beradik Norman, Yusry dan Edry yang membuat kejutan menerusi konsert GenKRU baru-baru ini, menyaksikan mereka sekali lagi mencetuskan fenomena, sekali gus membuktikan bahawa pengaruh mereka dalam industri muzik tempatan masih relevan.

Dari satu segi, trio ini layak diangkat sebagai 'role model' bukan sahaja dalam arena muzik, malah dunia perniagaan.

Perunding kewangan, Afyan Mat Rawi turut menyenaraikan sembilan kualiti yang dimiliki kumpulan ini yang wajar dicontohi golongan usahawan: 

1. Konsisten bertahan walau dunia berubah

- KRU bermula pada era kaset, survive zaman CD dan VCD dan masih disebut dalam zaman TikTok. Sebagai usahawan, jangan selesa dengan satu model sahaja. Dunia berubah, pelanggan berubah, teknologi berubah dan kita juga mesti berubah.

Ramai usahawan tidak begitu mendalami ilmu keusahawanan sehingga akhirnya perniagaan kandas. -Gambar hiasan 

2. Bangunkan jenama, bukan sekadar produk

- KRU bukan sekadar menjual lagu. Mereka bangunkan jenama hiburan. Dari muzik ke filem, studio ke animasi, mereka kembangkan pengaruh dan kepakaran ke pelbagai cabang industri. Usahawan juga perlu berfikiran jauh. Jangan hanya fokus jual barang tetapi bina juga jenama.

3. Bisnes keluarga juga boleh pergi jauh

- Mereka buktikan bahawa dengan kepercayaan dan pembahagian tugas yang jelas, bisnes berasaskan keluarga boleh pergi jauh. Kuncinya ialah kepercayaan, komunikasi dan kesatuan visi.

4. Tahu peranan masing-masing

- Mereka saling melengkapi, bukan berebut peranan. Norman fokus strategi dan bisnes, Edry mahir dalam penciptaan muzik manakala Yusry pula menguasai aspek visual dan pengarahan. Dalam bisnes, kenali kekuatan ahli pasukan. Ada yang perlu jadi perancang, ada yang jadi pelaksana, ada yang jadi wajah kepada jenama.

5. Kuasa komuniti lebih ampuh berbanding pengikut (followers)

- Jumlah followers mereka jauh ketinggalan berbanding artis-artis baharu dan influencer popular. Tetapi mereka tetap berjaya menarik puluhan ribu peminat ke konsert. Ini membuktikan bahawa engagement sebenar tidak bergantung pada jumlah pengikut semata-mata, tetapi kekuatan komuniti, hubungan emosi dan nilai kepercayaan yang dibina bertahun-tahun.

Trio tiga beradik ini turut menubuhkan KRU Studios, iaitu sebuah syarikat media dan hiburan.

6. Strategi undur dan 'comeback'

- KRU pernah mengumumkan pembubaran. Tetapi kemudian mereka kembali dengan konsert besar-besaran. Itu bukan kebetulan. Itu strategi. Usahawan juga perlu tahu bila perlu berhenti seketika, muhasabah, susun semula kekuatan. Dan kembali dengan impak yang lebih besar.

7. Jual emosi, bukan hanya produk

- Konsert KRU bukan sekadar persembahan lagu. Ia menjual kenangan zaman remaja, semangat berkumpulan dan emosi nostalgia yang membuatkan ramai sanggup beli tiket premium. Produk boleh dilupakan tetapi emosi yang disentuh akan diingati sampai bila-bila.

8. Berani jadi pelopor

- KRU ialah pelopor muzik R&B dan hip hop Melayu ketika ramai masih selesa dengan genre jiwang. Sudah tentu dalam mengeksplorasi perkara baharu, akan banyak 'dinding' (halangan) yang mereka langgar. Usahawan juga perlu berani menjadi yang pertama. Jangan hanya ikut trend tapi cipta trend.

9. Tidak bergantung kepada populariti 

- Ramai artis hanya bergantung kepada populariti. Apabila populariti merosot, mereka hilang arah. KRU sebaliknya membina syarikat, studio dan perniagaan di belakang tabir. Begitu juga usahawan. Jangan hanya kejar viral. Gunakan waktu naik untuk membina aset dan struktur yang kekal.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia