suria

Ramai tertanya-tanya apa kesan tarif Donald Trump kepada Malaysia? Ini penjelasan pakar

Trump mengumumkan tarif import melibatkan Malaysia dan negara-negara lain pada Selasa. -Foto Getty Image

MALAYSIA kini berada dalam senarai negara yang bakal dikenakan tarif import baharu oleh Amerika Syarikat (AS), selepas Presiden Donald Trump mengumumkan langkah terbaharu menerusi platform Truth Social pada Selasa. 

Tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas barangan dari Malaysia, sama seperti yang dikenakan ke atas Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan. 

Kadar ini sedikit tinggi berbanding 24 peratus yang pernah diumumkan sebelum ini tetapi kemudiannya ditangguhkan selama 90 hari.

Negara lain yang turut terkesan termasuk Afrika Selatan sebanyak 30 peratus, manakala Laos dan Myanmar dikenakan kadar tertinggi iaitu 40 peratus.

Tarif ini dijadualkan berkuat kuasa bermula 1 Ogos 2025, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam dasar perdagangan AS terhadap beberapa rakan dagang utama.

Penjelasan mengenai kesan dasar ini kepada Malaysia turut dihuraikan oleh Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin dalam satu temubual bersama Awani.

1. Implikasi terhadap Malaysia

Setakat ini, belum ada kesan 'segera' terhadap sektor eksport Malaysia kerana belum dilaksanakan, sekali gus memberi ruang untuk rundingan semula.

Namun begitu, pasaran sudah mengambil kira risiko tarif ini sejak April lalu dan ekonomi negara dilihat bersedia menghadapi kemungkinan tersebut.

2. Sektor elektrik, elektronik serta komoditi tak terlalu terjejas

Sektor elektrik dan elektronik yang menyumbang lebih 36 peratus kepada eksport negara dijangka tidak menerima kesan 'mengejut' (ketara) termasuklah minyak sawit dan industri berasaskan komoditi. 

3. Keseimbangan dagangan negara masih kukuh

Kerajaan tidak bercadang mengambil tindakan balas terhadap tarif ini kerana tumpuan kini adalah untuk memperkukuhkan eksport dan membina kerjasama strategik.

Fokus utama negara adalah ke arah memperluas hubungan dalam kalangan negara Asean serta kerjasama dengan negara membangun seperti BRICS (Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan dan lain-lain). 

Pendekatan Malaysia yang menekankan prinsip pelbagai hala (multilateralism) dilihat lebih sesuai dengan situasi semasa.

4. Nilai ringgit dijangka stabil

Nilai ringgit mungkin mengalami perubahan dalam jangka masa pendek, namun dijangka stabil untuk jangka masa sederhana.

Usaha berterusan Malaysia untuk mempelbagaikan sektor pasaran dan perdagangan dijangka dapat meningkatkan permintaan terhadap ringgit dalam tempoh akan datang.

Bagi Irwan, pengumuman dibuat Trump ini akan berlaku dari semasa ke semasa jadi kita tidak perlu 'terkejut' dan lebih bersedia dengan norma atau Pasca Trump 2.0 ini.

Artikel Lain