SEORANG kanak-kanak perempuan berdepan detik cemas apabila tersekat dalam mesin basuh selepas mahu 'melarikan diri' gara-gara dimarahi ibunya mengenai kerja sekolah.
Kejadian berlaku pada 30 Mac lalu di Kunshan, wilayah Jiangsu, China.
Difahamkan, kanak-kanak berusia 12 tahun itu dimarahi kerana gagal menyiapkan tugasan mengikut masa.
Akibat terlalu marah dan ingin menenangkan diri, dia bertindak memanjat masuk ke dalam mesin basuh jenis bukaan atas ketika ibunya tidak perasan.
Malangnya, dia tersekat di dalam mesin basuh dan tidak mampu bergerak.
Usaha untuk keluar sendiri gagal, menyebabkan ibunya terpaksa menghubungi pasukan penyelamat.
Sebaik tiba, pasukan bomba mengambil masa 16 minit untuk membuka dan meleraikan mesin tersebut.
Ketika diselamatkan, kanak-kanak itu berada dalam keadaan meringkuk sambil mengerang kesakitan. -Agensi