POLIS menahan seorang lelaki yang didakwa menyamar sebagai pakar jantung terkemuka dari London, selepas siasatan berhubung kematian tujuh pesakit di sebuah hospital swasta.
Suspek, yang menggunakan nama Narendra John Camm, menjalankan prosedur angioplasti ke atas semua mangsa di Hospital Mission di Madhya Pradesh, India.
Polis mengesahkan semua sijil perubatan yang dikemukakan oleh lelaki itu adalah palsu dan dia kini ditahan atas tuduhan penipuan dan pemalsuan dokumen.
Media tempatan melaporkan bahawa suspek menyamar sebagai Profesor John Camm, pakar jantung terkenal dari Universiti St George, London.
Profesor Camm menafikan sebarang kaitan dan menyatakan beliau sudah lama mengetahui tentang penipuan tersebut.
Katanya, dia dan rakan-rakan sudah berusaha selama bertahun-tahun untuk mendedahkan identiti sebenar individu itu, namun gagal kerana kekangan undang-undang.
Skandal ini terbongkar selepas keluarga salah seorang pesakit yang meninggal dunia tampil membuat laporan.
Anak kepada mangsa berkata doktor tersebut menghilangkan diri sebaik sahaja ibunya meninggal dunia.
Timbalan Ketua Menteri Madhya Pradesh, Rajendra Shukla memberi jaminan tindakan tegas akan diambil jika suspek didapati bersalah.
Kes ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap kewujudan ramai doktor palsu di India, terutama di kawasan luar bandar.
Pihak berkuasa India kini giat menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan tersebut. -Agensi