SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa membunuh ibu dan bapa tirinya sendiri sebagai persediaan untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan menggulingkan kerajaan pimpinannya, demikan menurut dokumen mahkamah yang didedahkan pihak berkuasa persekutuan.
Tertuduh, Nikita Casap, dari Wisconsin ditahan pada Mac lalu dan kini berdepan dua pertuduhan membunuh tahap pertama serta dua pertuduhan menyembunyikan mayat.
Menurut pihak berkuasa Daerah Waukesha, Casap turut didakwa atas kesalahan mencuri melebihi AS$10,000 (sekitar RM44,248) dan penyalahgunaan identiti bagi tujuan mendapatkan wang.
Dokumen siasatan menunjukkan Casap dipercayai bertindak membunuh ibu dan bapa tirinya bagi memperoleh sumber kewangan dan kebebasan bagi melaksanakan hasrat menggulingkan kerajaan AS dan membunuh Trump.
Bapa tiri Casap, Donald Mayer, 51, dan ibunya, Tatiana Casap, 35, ditemui mati dalam rumah mereka pada 1 Mac selepas pihak Jabatan Syerif Daerah Waukesha menjalankan pemeriksaan di kediaman tersebut.
Hasil geledah oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati telefon bimbit milik remaja itu mengandungi bahan berkaitan Nazi, selain dokumen yang didakwa menyeru percubaan pembunuhan ke atas Trump.
Casap hadir di mahkamah pada 9 April lalu bagi perbicaraan awal namun masih belum membuat sebarang pengakuan terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Dia kini masih dalam tahanan dan dijadualkan kembali ke mahkamah pada 7 Mei untuk perbicaraan seterusnya. -Agensi