suria

Tampar, goncang, hempas! Bapa muda didakwa bunuh bayi berusia 2 bulan kerana menangis tanpa henti

Persediaan fizikal dan mental mempengaruhi kesejahteraan hidup anak-anak. -Gambar hiasan

GARA-GARA hilang sabar mendengar tangisan bayi perempuannya, seorang bapa tergamak membunuh darah daging sendiri yang baru berusia dua bulan.

Marlon Rabanales-Pretzantzin, rakyat Guatemala berusia 20 tahun didakwa di Mahkamah Nassau County pada 10 April lalu susulan serangan fizikal ke atas Liseyda sewaktu ditinggalkan secara berseorangan bersama bayinya.

Insiden terbabit dipercayai berlaku di kediaman mereka, Long Island, utara Amerika Syarikat, 7 Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah sewaktu dibicarakan sehinggalah fakta berkait dibacakan di mahkamah.

Hasil bedah siasat mendapati bayi malang itu mengalami patah tulang rusuk, kesan lebam di kepala, tulang belakang terkehel, serta pendarahan dalaman yang teruk di kawasan leher.

Tertuduh juga didakwa menampar wajah dan menumbuk perut mangsa berulang kali, menggoncangnya secara paksa, menghempasnya ke atas katil dan menekan badan mangsa sekuat hati.

Pada awalnya, tertuduh beralasan bahawa bayinya tersedak susu formula, kelalaian dirinya yang tertidur menjadi punca anaknya terjatuh dari katil secara tidak sengaja.

Bagaimanapun, mangsa dikesan mempunyai sejarah penderaan lampau berdasarkan pemeriksaan perubatan.

Sementara itu, anak keduanya berusia 14 bulan yang turut berada di tempat kejadian dilaporkan tidak terjejas dan kini berada dibawah jagaan ibunya.

Mahkamah mengarahkan tertuduh ditahan tanpa ikat jamin sehingga perbicaraan seterusnya yang ditetapkan pada 6 Mei depan. -Agensi

Artikel Lain

Saiful Apek kena tahan?