suria

Air India terima ancaman bom! Pesawat lakukan pendaratan cemas di Phuket

Flightradar24 menunjukkan Air India berlegar-legar di ruang udara Laut Andaman sebelum berpatah balik ke Phuket.

KETIKA dunia masih terkejut dengan nahas pesawat Air India AI171 yang terhempas di India pada Khamis, satu lagi insiden cemas melibatkan syarikat penerbangan sama berlaku pada Jumaat.

Penerbangan Air India AI379, yang berlepas dari Phuket, Thailand ke New Delhi, India pada pukul 9.30 pagi Jumaat waktu tempatan, terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas satu nota ancaman bom ditemui dalam tandas pesawat ketika dalam penerbangan.

Menurut laman penjejak penerbangan Flightradar24, pesawat itu sempat mengelilingi ruang udara Laut Andaman sebelum berpatah balik dan mendarat semula di Phuket.

Kesemua 156 penumpang berjaya keluar dari pesawat dengan selamat dan diiringi keluar oleh pihak berkuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Sepuluh minit berpantang ajal... Wanita tersekat dalam trafik terlepas naiki pesawat Air India, menggigil dapat tahu berita terhempas

ARTIKEL BERKAITAN: Impian bina hidup baru di London tak kesampaian... Pasangan doktor PJJ maut bersama 3 anak dalam nahas Air India

Pihak berkuasa yang menjalankan siasatan turut mengesahkan bahawa tiada bom ditemui di dalam pesawat berkenaan. 

Individu yang menemui nota berkenaan telah disoal siasat, namun butiran terperinci mengenai kandungan nota atau suspek terlibat tidak didedahkan oleh Lapangan Terbang Thailand (AOT).

Insiden itu berlaku hanya sehari selepas nahas pesawat Air India AI171, yang dalam perjalanan ke London, terhempas ke sebuah sekolah perubatan di India.

Tragedi itu meragut hampir kesemua nyawa di dalam pesawat, dengan hanya seorang mangsa terselamat selepas melompat keluar dari pintu kecemasan dengan punca kejadian masih dalam siasatan.

Dua insiden berturut-turut itu mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan penerbangan Air India dan dijangka mendapat perhatian serius pihak berkuasa penerbangan antarabangsa. -Agensi

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia