SIMPATI dengan nasib penduduk Gaza yang kini berdepan dengan krisis makanan yang kritikal, seorang lelaki dari Mesir mengambil inisiatif sendiri 'menghantar' bekalan makanan ke wilayah tersebut.
Menerusi satu video [Tonton Video] yang tular di laman sosial, lelaki berkenaan mengisi bahan makanan berupa tepung dan bijian seperti kekacang ke dalam botol plastik, sebelum melontarkannya ke dalam laut.
Dilihat membaca doa sebelum melontarkannya, dia berharap agar botol-botol berisi makanan tersebut akan hanyut dan sampai ke Gaza.
"Ya Allah, sebagaimana Engkau telah membawa Nabi Nuh di lautan, di tengah gelombang sebesar gunung, sampaikanlah ini daripada kami kepada Gaza.
"Maafkan kami, saudara-saudaraku. Kami tak mampu berbuat apa-apa untuk kalian," ujarnya dalam video berkenaan.
Susulan video berkenaan, penduduk Mesir sepakat melakukan tindakan yang sama sebagai usaha terdesak menghulurkan bantuan kepada Gaza.
Al Jazeera melaporkan angka yang terkorban akibat kekurangan zat makanan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 115, susulan akses terhadap bantuan ke wilayah itu disekat oleh Israel.