SEORANG lelaki memenangi saman terhadap bekas majikannya selepas mahkamah memutuskan bahawa dia berhak menerima bayaran kerja lebih masa kerana dipaksa menghadiri latihan dalam talian di luar waktu kerja.
Kes ini mendapat perhatian meluas dan dianggap sebagai kes penting selepas dilaporkan oleh Workers’ Daily pada 17 Julai lalu.
Lelaki dikenali sebagai Wang dari Beijing, China, mula bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan pada Julai 2020 sebagai jurutera, sebelum ditamatkan perkhidmatan pada Jun 2023 dengan butiran gaji tidak didedahkan.
Wang memfailkan permohonan timbang tara dengan menuntut bayaran kerja lebih masa melebihi 80,000 yuan (kira-kira RM52,000).
Menurutnya, syarikat sering memaksanya menyertai latihan menggunakan aplikasi seperti Ding Ding dan WeChat selepas waktu kerja.
Lebih mengejutkan, pekerja yang tidak hadir dalam sesi itu dikenakan derma sukarela sebanyak 200 yuan (sekitar RM130).
Sebagai bukti, Wang menyerahkan tangkap layar penyertaannya dalam latihan tersebut serta rekod perbualan bersama rakan sekerja.
Pihak syarikat pula menafikan latihan itu dianggap sebagai kerja lebih masa, dengan alasan bahawa sebarang kerja tambahan perlu mendapat kelulusan pihak pengurusan terlebih dahulu.
Mereka juga berhujah bahawa kehadiran ke sesi dalam talian hanya memerlukan pekerja log masuk tanpa wajip untuk bercakap atau memberi perhatian, justeru tidak dapat dibuktikan bahawa mereka benar-benar bekerja.
Mereka turut menafikan bahawa polisi derma itu berkaitan dengan sesi latihan.
Disebabkan tuntutan Wang tidak disokong oleh pihak timbang tara, beliau membawa kes itu ke mahkamah.
Mahkamah Rakyat Pertengahan di Beijing akhirnya memutuskan bahawa bukti yang dikemukakan membuktikan syarikat tersebut sememangnya mewajibkan latihan dalam talian di luar waktu kerja, dan ia mengganggu masa peribadi pekerja.
Polisi derma yang dikenakan pula membuktikan ia adalah arahan majikan yang wajib dipatuhi.
“Latihan ini berlaku selepas waktu kerja, dan pekerja tiada pilihan untuk menolaknya. Oleh itu, ia harus dikira sebagai kerja lebih masa,” menurut keputusan mahkamah.
Walau bagaimanapun, mahkamah turut mengambil kira bahawa Wang kadangkala log masuk lewat dari masa yang dijadualkan, dan jumlah pampasan ditetapkan sebanyak 19,000 yuan (sekitar RM12,400).-Agensi