suria

Keldai ‘meluncur’ menuruni zipline, netizen kecam anggap penyeksaan haiwan

Seekor keldai 'meluncur' menuruni zipline di Dagestan, Rusia yang mencetuskan kemarahan netizen. -Foto X

DALAM satu insiden aneh yang tular di media sosial, seekor keldai telah dihantar menuruni zipline dari tebing tinggi sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan di Republik Dagestan, Rusia.

Rakaman video menunjukkan keldai itu diikat pada zipline sebelum meluncur menuruni cerun setinggi lebih 100 meter, diiringi gelak ketawa penonton. 

Pengendali pelancongan bernama Ramazan memuat naik video tersebut dengan kapsyen berbunyi, "Keldai itu terbang lebih laju daripada helang!"

Walaupun video tidak menunjukkan pendaratan haiwan itu, ramai meluahkan kebimbangan ia mungkin tercedera.

Namun menurut laporan RT.com, keldai tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya mendarat dengan selamat.

Video itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen di platform seperti X , dengan ramai menyifatkannya sebagai tindakan kejam dan menyeksa. 

Difahamkan, hantaran asal video berkenaan kemudian dipadamkan ekoran kritikan bertubi-tubi netizen.

Pihak polis telah menjalankan siasatan tetapi tiada tindakan diambil kerana tiada kecederaan dilaporkan, dan tahap trauma haiwan tersebut juga tidak dapat dipastikan.

Namun, terdapat juga segelintir netizen yang mempertahankan tindakan itu, menyifatkannya sebagai cara selamat dan praktikal untuk mengangkut haiwan di kawasan pergunungan berbukit tinggi. -Agensi

 

Artikel Lain