suria

Kabel jambatan gantung putus sebelah, lima pelancong maut

Kemalangan menyebabkan lima individu maut akibat jambatan gantung runtuh. -Foto Douyin/Jingshoujing

SERAMAI lima orang maut manakala 24 lagi cedera dalam satu insiden jambatan gantung runtuh di kawasan pelancongan terkenal pada Rabu.

Memetik portal CNN, salah satu kabel penahanan yang menggantung jambatan berkenaan tiba-tiba putus menyebabkan ia terbalik ke sebelah dan mengakibatkan 29 pengunjung terjatuh.

Kejadian di Kawasan Pemandangan Xiata, Xinjiang, China itu berlaku sekitar pukul 6 petang waktu tempatan.

Rakaman video yang tular di platform Douyin memaparkan keadaan jambatan senget dengan pelancong bergayut pada bahagian yang masih tergantung sambil cuba menyelamatkan diri.

Turut kelihatan mangsa terbaring di atas tanah berbatu di tepi sungai akibat cedera selepas terjatuh daripada jambatan tersebut.

Seorang pemandu pelancong yang dikenali sebagai Yun Shang berkata, dia berada di lokasi kejadian bersama kumpulannya ketika insiden berlaku.

"Nasib baik dalam kumpulan kami ada seorang anggota tentera laut yang segera membantu mangsa cedera," katanya sambil menambah kumpulannya turut membantu dalam usaha menyelamat.

Susulan tragedi itu, pihak berkuasa tempatan menutup sementara kawasan pelancongan Xiata untuk pemeriksaan keselamatan dan siasatan lanjut.

Artikel Lain