suria

Guru kasari murid digantung tugas, polis buka kertas siasatan

Tangkap layar (screenshot) memaparkan seorang guru di sekolah rendah di Madhya Pradesh mengasari muridnya. -Foto NDTV

SEBUAH video memaparkan aksi seorang guru yang mengasari muridnya di dalam kelas, mencetuskan kemarahan ramai selepas ia tular di media sosial. 

Rakaman tersebut memaparkan Mahesh Chaudhary, guru di sebuah sekolah kerajaan di kampung Arjuni, daerah Seoni, dekat Madhya Pradesh, menekan mulut seorang murid lelaki berusia enam tahun, Ravi Bhalavi, sebelum memaksanya berbaring di atas lantai.

Dia kemudian meletakkan sebatang kayu di belakang tubuh kanak-kanak itu dan menekannya dengan kuat, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Dalam satu lagi bahagian video, Chaudhary turut dilihat memukul seorang murid perempuan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 26 Ogos lalu. 

Ibu bapa mendakwa ini bukan kali pertama Chaudhary bertindak kasar terhadap pelajar. 

Mereka berkata aduan terhadapnya telah lama dikemukakan, namun tiada tindakan diambil sebelum ini.

Susulan kejadian itu, pentadbiran daerah segera menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan bagi melakukan siasatan dalaman.

Difahamkan, jawatankuasa itu telah mengarahkan penggantungan Chaudhary dan guru itu kini telah ditempatkan di pejabat pegawai di Ghansor.

Dalam pada itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan selepas menerima aduan daripada bapa mangsa. -Agensi

Artikel Lain