suria

Tiga dilaporkan maut di Makassar, kenderaan dibakar... Rusuhan berakhir lepas polis kawal pintu gerbang

Antara situasi tegang yang berlaku semasa demonstrasi. Foto BBC Indonesia

DEMONSTRASI di Indonesia pada Jumaat sehingga pagi Sabtu yang berakhir dengan kekecohan di hadapan Polda Metro Jaya mula reda dengan suasana yang pada awalnya tegang mula terkawal.

Memetik laporan detikcom, pihak polis mula keluar dari pintu gerbang Polda Metro Jaya di Jalan Gatot Subroto pada pukul 3.33 pagi bagi memadamkan beberapa insiden kebakaran.

Beberapa peserta demonstrasi turut ditahan dan dibawa ke dalam kawasan Polda Metro Jaya.

Namun begitu, sehingga pukul 5.30 pagi Sabtu, masih terdapat lontaran mercun dan batu ke arah Polda Metro Jaya, menyebabkan polis terus mengawal pintu masuk.

Kekecohan turut tercetus di beberapa lokasi lain di Jakarta sejak malam sebelumnya, termasuk balai polis yang menjadi sasaran kemarahan peserta.

Ketua Siasatan Jenayah Polres Metro Jakarta Timur, AKBP Dicky Fertoffan berkata, Balai Polis Matraman, Makasar, Ciracas, Jatinegara, Cipayung turut diserang peserta rusuhan.

Di sekitar Polres Metro Jakarta Timur, tujuh buah kenderaan dilaporkan dibakar.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Metro Jakarta Timur, Kombes Alfian Nurrizal.

"Kenderaan yang dibakar ialah dua trak, sebuah ambulans, sebuah Kijang pikap, sebuah van elf dan dua buah 'double cabin'," ujarnya.

Sebelum itu, peserta demonstrasi dilaporkan berulang kali melempar bom molotov ke arah Polres Jakarta Timur.

"Kebakaran merebak kerana dilempar molotov dan mercun. Molotov dilempar hampir 100 kali sehingga kami terpaksa lakukan pemadaman berulang kali. Mercun dan batu juga turut dilempar,” jelas Alfian.

Beliau menambah, masih terdapat beberapa insiden rusuhan, namun menegaskan polis kekal bersiap siaga bagi mengawal keadaan.

Dalam laporan terbaharu pagi ini, Alfian memaklumkan situasi sudah berjaya dikawal dan peserta mula beransur-ansur bersurai.

Dalam pada itu, tiga individu disahkan meninggal dunia manakala lima lagi cedera selepas Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DRPD) Makassar dibakar oleh penunjuk perasaan.

Kejadian berlaku sekitar pukul 10.45 malam waktu tempatan ketika dewan tersebut sedang mengadakan mesyuarat yang dihadiri beberapa ahli dewan dan Datuk Bandar Makassar, Munafri Arifuddin.

Tunjuk perasaan itu dilakukan bagi membantah kematian penunggang teksi motosikal, Affan Kurniawan akibat dilanggar kenderaan taktikal polis pada Khamis.

Mereka turut bertindak ganas dengan merosakkan pos polis, membakar kenderaan awam serta bangunan DPRD. -Agensi

Artikel Lain