SEORANG bapa sanggup berhenti kerja dan merantau sejauh 900 kilometer (km) untuk membuka gerai makanan berhampiran universiti anak perempuannya.
Dia bertindak sedemikian selepas anak gadisnya mengadu makanan di kafeteria di kampusnya tidak sedap dan 'tiada rasa' berbeza dengan masakan di rumah.
Anak perempuannya, Li Bingdi, merupakan pelajar tahun dua di Universiti Normal Jilin yang terletak di bandar Siping, wilayah Jilin, timur laut China.
Menurut laporan media, Li sering mengadu sejak setahun lalu bahawa makanan di universiti tersebut tidak bersih dan tidak sedap seperti masakan mendiang ibunya.
Ibunya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu kerana penyakit leukemia.
Prihatin dengan rungutan anak, bapanya yang bekerja di sebuah restoran barbeku di Tianjin memutuskan untuk berhenti kerja.
Dia kemudian mempelajari cara masak nasi goreng serta mi di selatan China sebelum membuka gerai berhampiran pintu masuk universiti.
Gerai nasi goreng dan mi yang diusahakannya mula beroperasi pada pertengahan Oktober lalu dan menarik perhatian ramai kerana kisah pengorbanan serta kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya.-Agensi


