SEORANG penunggang teksi motosikal menuntut keadilan selepas akaun aplikasi e-hailing miliknya digantung kerana membatalkan perjalanan pertengahan jalan disebabkan gangguan seksual oleh seorang penumpang lelaki.
Penunggang berusia 33 tahun yang dikenali sebagai Nitiaut mendakwa dia digantung daripada sistem walaupun tidak bersalah dan menjadi mangsa dalam insiden berkenaan.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7.20 malam pada 28 Oktober lalu, apabila penumpang lelaki menempah perkhidmatannya dari perhentian bas di hadapan Universiti Thammasat menuju ke kawasan Charansanitwong di Thailand.
Ketika dalam perjalanan, penumpang berkenaan didakwa memeluk Nitiaut dari belakang dan cuba menyentuh bahagian sulitnya.
Nitiaut menepis tangan penumpang itu namun lelaki tersebut mengulang perbuatan sama beberapa minit kemudian.
Tidak tahan dengan tindakan itu, Nitiaut menghentikan motosikal dan meminta penumpang turun sebelum membatalkan perjalanan serta membuat laporan polis.
Dia turut menyerahkan video pertengkaran antara mereka sebagai bukti.
Namun, penumpang berkenaan kemudiannya membuat aduan kepada syarikat aplikasi e-hailing dengan mendakwa Nitiaut gagal menghantarnya ke destinasi.
Akibatnya, akaun Nitiaut digantung dan dia tidak lagi dapat bekerja.
“Kami juga manusia, bukan objek yang boleh disentuh hanya kerana mereka membayar tambang. Syarikat sepatutnya melindungi pemandu, bukan menghukum,” katanya.
Pengasas pertubuhan kebajikan Saimai Survive, Ekkaphop Luangprasert, menyatakan pihaknya akan membantu Nitiaut menuntut keadilan.
Dia turut mengingatkan bahawa gangguan seksual terhadap pemandu boleh membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda sehingga 200,000 baht (RM26,000), atau kedua-duanya sekali.-Agensi


