SEORANG guru wanita di pedalaman sanggup meredah jalan berbatu sejauh sembilan kilometer (km) setiap hari untuk mengajar di sekolah swasta walaupun gajinya kecil dan dibayar hanya setiap enam bulan.
Meilina Alwi, 33, mengajar murid tahun lima sebuah sekolah dengan hanya tiga bilik darjah.
Menurutnya, perjalanan bermotosikal ke sekolah bukan mudah kerana kerap berhadapan pelbagai haiwan ternakan dan liar termasuk lembu, kambing, biawak dan kadangkala ular.
“Kalau musim tertentu, haiwan-haiwan itu selalu melintas. Kami kena berhenti dulu tunggu ia lalu,” katanya.
Dia mengajar di Sekolah Al Balya, Bangkalan di Jawa Timur, Indonesia.
Meskipun sekolah serba kekurangan, guru lulusan Universitas 17 Agustus Surabaya itu tetap berasa selesa kerana murid-muridnya beradab dan masyarakat sekitar bersatu padu.
“Akses ke sekolah kerajaan jauh, jadi sekolah swasta kami jadi pilihan murid. Mereka sangat semangat dan ingin belajar. Itu mendorong saya untuk terus mendidik walaupun gaji kecil,” ujarnya.
Meilina menerima gaji sebanyak Rp400,000 sebulan (RM120), yang dibayar hanya setiap enam bulan mengikut pencairan dana Bantuan Operasional Sekolah (BOS).
Walaupun demikian, dia tetap komited untuk memastikan anak-anak di pedalaman Bangkalan tidak ketinggalan daripada arus kemodenan. -Agensi


