SEORANG lelaki terkejut apabila mendapati isterinya membelanjakan ratusan ribu simpanan mereka sepanjang lapan tahun perkahwinan.
Lebih mengecewakan, si suami yang dikenali sebagai Liu mendakwa sebahagian besar jumlah itu digunakan untuk memberi hadiah kepada seorang live-streamer lelaki dan menyebabkan dia berasa dikhianati.
Menurut Liu, isterinya berhenti bekerja selepas berkahwin pada 2017 untuk menjaga anak mereka.
Demi memastikan kewangan mereka selamat, Liu menyerahkan hampir semua pendapatannya kepada isteri dan menyimpan wang mereka dalam akaun deposit tetap atas nama wanita itu.
Namun kini, akaun tersebut hanya berbaki 30 sen.
Kejadian dilaporkan berlaku di Henan China dengan wanita itu menghabiskan simpanan sebanyak 1.16 juta yuan (RM614,000).
Selain itu, isterinya juga mengambil pinjaman dalam talian sebanyak 80,000 yuan (RM42,000).
Apabila ditanya, isterinya mengaku ketagih memberi sumbangan membantu seorang live-streamer lelaki untuk menang cabaran dalam platform siaran langsung, walaupun mereka tidak pernah berjumpa secara fizikal.
Liu menegaskan wang yang dibelanjakan isterinya adalah harta bersama dan dia mahu mendapatkan kembali jumlah tersebut sebelum mempertimbangkan perceraian.
“Selama ini saya bertungkus-lumus bekerja, tapi di rumah dia tikam daripada belakang. Cinta kami dah tiada, tapi saya kena fikirkan orang tua dan anak,” katanya. -Agensi


