suria

Pelancong wanita meluru ambil pisau di dapur, cuba serang tauke kedai makan selepas gagal bayar guna aplikasi ‘online’

Suspek didakwa bertindak agresif selepas tidak dapat membuat bayaran menggunakan aplikasi WeChat Pay.

SEORANG pelancong wanita ditahan polis selepas didakwa bertindak agresif dan menyerang anggota keselamatan menggunakan pisau dapur.

Kejadian dilaporkan berlaku pada awal pagi Sabtu di sebuah kedai makan berasaskan mi di Sheung Shui, Hong Kong.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, suspek bertindak ganas apabila dilihat berulang kali menghayunkan sebilah pisau ke arah perisai rusuhan polis ketika anggota keselamatan cuba mengawal keadaan.

Difahamkan, wanita berkenaan berasal dari Wilayah Jilin, China dan baru memasuki Hong Kong pada 2 Januari menggunakan permit dua hala selepas mengembara di Vietnam.

Menurut pegawai polis, insiden tercetus selepas wanita berkenaan gagal membuat bayaran menggunakan aplikasi WeChat Pay kerana telefon bimbitnya kehabisan bateri.

Pemilik restoran dikatakan telah menawarkan bantuan dengan membenarkan suspek mengecas telefon bimbitnya.

Namun wanita itu dipercayai hilang kawalan emosi sebelum berlari ke kawasan dapur dan mengambil pisau serta gunting.

Tindakan agresif itu menyebabkan pekerja dan pelanggan melarikan diri dalam keadaan cemas.

Pada masa sama, dia didakwa merosakkan sebuah telefon milik restoran yang digunakan untuk urusan pembayaran sekali gus mendorong pemilik premis menghubungi polis.

Setibanya polis di lokasi, wanita terbabit dilaporkan masih bertindak agresif dan terus mengacukan pisau ke arah anggota keselamatan.

Polis kemudiannya melepaskan satu das tembakan peluru semburan lada menggunakan pelancar JPX4 yang mengenai lengan kanan suspek sebelum dia berjaya ditumpaskan dan ditahan.

Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Daerah Utara dalam keadaan sedar untuk menerima rawatan dan kini disiasat atas tiga kesalahan berasingan. -Agensi

Artikel Lain