suria

Hilang sabar tunggu giliran dapatkan rawatan di hospital... Lelaki tiba-tiba gigit telinga, pukul pesakit lain

Tindakan agresif dan amukan adalah kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki ditahan polis selepas didakwa melakukan amukan dan menyerang beberapa pesakit di ruang menunggu Jabatan Kecemasan dan Trauma  sebuah hospital. 

Berdasarkan laporan, pihak polis menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 4.15 petang Jumaat, berhubung seorang lelaki yang bertindak ganas terhadap pesakit lain di Hospital Bolton, England.

Suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu dipercayai telah memukul seorang lelaki uzur sehingga terjatuh ke lantai.

Malah dia turut didakwa menggigit sebahagian telinga seorang individu lain yang cuba meleraikan kekecohan tersebut.

Menurut saksi kejadian, Michael Anderson, dia terpaksa bertindak pantas bersama seorang jururawat untuk menahan suspek bagi mengelakkan serangan berterusan sebelum pasukan keselamatan hospital tiba.

Michael yang ketika itu menemani pasangannya yang sedang hamil berkata, suspek dilihat semakin tidak terkawal selepas beberapa minit berada di ruang menunggu sebelum bangun dan mula menimbulkan kekecohan.

"Dia berdiri, berjalan ke arah pintu masuk dan seolah-olah mengira setiap orang dalam bilik menunggu. 

"Selepas itu dia masuk ke koridor dan suasana senyap seketika sebelum dia mula menjerit," katanya mengimbas kembali insiden tersebut.

Tambah Michael, dia berjaya menjatuhkan suspek dan menahannya, sebelum pasukan keselamatan dan polis tiba untuk mengawal keadaan.

Beberapa gambar yang tular turut memaparkan kehadiran beberapa kenderaan polis di hadapan pintu masuk Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Polis Greater Manchester mengesahkan seorang lelaki berusia 20-an telah ditahan bagi membantu siasatan atas beberapa pertuduhan termasuk serangan menyebabkan kecederaan parah, serangan biasa, menyerang anggota polis serta kesalahan ketenteraman awam berunsur perkauman.

Bagaimanapun, pihak polis tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai tahap kecederaan yang dialami mangsa-mangsa terlibat. -Agensi

 

Artikel Lain