suria

Sekolah tak cukup perabot... 600 murid bawa meja lipat sendiri, tak kisah belajar sambil duduk atas lantai

Situasi tersebut berlaku disebabkan perpindahan sekolah. -Foto Kompas

GARA-GARA kekurangan kemudahan asas sekolah, seramai 600 pelajar terpaksa menempuh pengalaman unik apabila perlu membawa meja belajar sendiri untuk sesi pembelajaran.

Kejadian dilaporkan berlaku di SMP Negeri 3 Depok di Indonesia.

Berdasarkan laporan, situasi tersebut berpunca daripada perpindahan sekolah ke bangunan baharu.

Namun malangnya, keperluan pengajaran dan pembelajaran seperti meja serta kerusi masih tidak mencukupi.

Pegawai Perhubungan Awam SMPN 3 Depok, Nur mendedahkan bahawa daripada 33 bilik darjah yang tersedia, hanya 16 buah sahaja yang mempunyai kelengkapan meja dan kerusi.

"Kami kekurangan perabot dalam 17 bilik darjah. Disebabkan setiap kelas menampung kira-kira 36 pelajar.

"Ini bermakna lebih 600 murid perlu membawa meja lipat sendiri," katanya pada Jumaat.

Menurut Nur, buat masa ini penggunaan meja lipat hanya melibatkan pelajar darjah tujuh dan lapan.

Manakala, baki meja dan kerusi yang sedia ada diperuntukkan khas buat pelajar darjah sembilan demi keselesaan mereka menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Kekurangan ini berpunca selepas sekolah berkenaan 'berpisah' bangunan dengan sebuah lagi sekolah lain, menyebabkan perabot yang dikongsi sebelum ini terpaksa dipulangkan semula ke sekolah asal," tambahnya.

Meskipun kedengaran sukar apabila terpaksa belajar di atas lantai, Nur menjelaskan bahawa inisiatif membawa meja lipat tersebut sebenarnya cadangan pelajar sendiri.

Malah, perkara berkenaan telah mendapat persetujuan bertulis daripada ibu bapa sebagai alternatif terbaik bagi mengelakkan sesi pembelajaran dijalankan pada waktu petang.

"Ia dilakukan selepas ada pelajar yang menolak sistem pembelajaran sesi petang," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pejabat Pendidikan Bandar Depok, Wahid Suryono memaklumkan pihaknya sedang menilai semula keperluan mendesak di sekolah berkenaan.

Beliau berharap proses perolehan meja dan kerusi baharu dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan murid-murid dapat belajar dengan lebih selesa.

"Diharapkan segalanya selesai menjelang akhir April ini," katanya.

Artikel Lain