suria

Ibu bapa tuntut pampasan RM115,791! Dakwa hospital cuai punca tangan bayi 9 bulan berlubang akibat IV ‘drip’

Foto tular memaparkan kesan hirisan (lubang) hasil pembedahan kecil untuk membuang nanah dan tisu mati pada lengan bayi. -Foto Istimewa/Detik

SEBUAH hospital tampil memberi penjelasan susulan notis undang-undang difailkan ibu bapa seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan, yang didakwa mengalami bengkak hingga berlubang pada tangan selepas menerima rawatan titisan intravena (IV).

RSIA Paramount Makassar yang terletak di Makassar, Sulawesi Selatan memaklumkan pihaknya menerima tuntutan pampasan sebanyak Rp500 juta (sekitar RM115,791) namun menyifatkan tuntutan tersebut sebagai tidak berasas daripada sudut undang-undang.

Dalam notis itu, ibu bapa bayi berkenaan mendakwa berlaku kecuaian serius sehingga tangan anak mereka membengkak teruk dan memerlukan pembedahan.

Mereka turut menuntut penjelasan penuh kronologi rawatan, pampasan material dan bukan material, serta penambahbaikan prosedur hospital dalam tempoh 72 jam.

Pengarah hospital, Muhammad Nadjib berkata, pihaknya bersedia memberikan laporan perubatan kepada waris atau wakil yang sah.

Namun, beliau mempersoalkan tuntutan pampasan besar itu kerana menurutnya tiada bukti jelas hospital melakukan kesalahan.

"Dalam undang-undang sivil, pihak yang mendakwa perlu membuktikan dakwaan," katanya.

Sementara itu, pegawai perhubungan awam hospital mengesahkan bayi tersebut dimasukkan ke unit kecemasan pada 19 Januari akibat demam dan muntah sebelum dipasang IV di tangan kiri.

IV kemudian ditanggalkan pada 21 Januari kerana berlaku flebitis (radang vena).

Kemudian IV baharu dipasang di tangan kanan pada awal pagi 22 Januari selepas bayi kembali demam, namun tangan mangsa dilaporkan bengkak beberapa jam kemudian, dipercayai akibat masalah sama.

Menurutnya, selepas dibenarkan keluar pada 25 Januari, ibu bapa  mangsa dinasihatkan membuat rawatan susulan dan menggunakan tuala yang direndam air suam. 

Namun keadaan tangan bayi semakin teruk sehingga membentuk abses (bengkak yang berisi nanah).

Doktor kemudian memberikan antibiotik dan memantau keadaan bayi terbabit.

Pada 9 Februari, doktor memutuskan untuk menjalankan prosedur pembedahan kecil membuang nanah dan tisu mati bagi merawat jangkitan tersebut.

Menurutnya, gambar yang tular di media sosial itu merupakan kesan hirisan (lubang) hasil prosedur berkenaan.

"Luka itu adalah keadaan pada hari pertama selepas pembedahan selesai dijalankan," katanya. -Agensi

Artikel Lain