suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Impian jadi guru bahasa Arab lebur... Kisah pelik tapi benar lelaki dapat tawaran kerja selepas 21 tahun duduki ujian kelayakan

Setiap individu memasang impian untuk memperoleh pekerjaan yang stabil dan menjamin masa depan yang lebih baik. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki yang sekian lama menyimpan impian untuk menabur bakti dalam dalam sektor perkhidmatan awam akhirnya menerima surat pelantikan yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

Namun, surat yang sepatutnya membawa khabar gembira itu sudah tidak lagi memberi sebarang makna apabila ia hanya tiba ke tangannya selepas lebih dua dekad dia menduduki peperiksaan kelayakan bagi jawatan Guru Bahasa Arab Sambilan.

Menurut laporan media tempatan, Abdul Majeed, 61, dari Kalikavu di daerah Malappuram, Kerala, menerima memo rasmi daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Kerala (PSC) bagi jawatan tersebut pada April lalu.

Apa yang mengejutkan, Majeed sebenarnya menduduki peperiksaan untuk pengambilan jawatan berkenaan pada tahun 2005 dan berjaya disenaraikan dalam senarai calon layak.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh sah senarai itu selama tiga tahun, dia tidak pernah menerima sebarang tawaran pelantikan.

Senarai berkenaan tamat tempoh pada tahun 2008 dan seperti ramai calon lain yang tidak dipanggil, Majeed meneruskan kehidupannya serta melupakan impian untuk menyertai perkhidmatan awam.

Namun PSC dilaporkan menghantar memo kepadanya pada 24 April lalu susulan kekosongan jawatan yang tidak dapat diisi selama bertahun-tahun akibat kekurangan calon yang layak, menyebabkan pihak berkuasa akhirnya merujuk semula kepada senarai calon lama.

Malangnya, ketika surat itu diterima iaitu selepas 21 tahun menduduki peperiksaan, peluang berkenaan sudah tidak lagi memihak kepada Majeed kerana faktor usia.

Berdasarkan rekod rasmi, Majeed mencapai umur 60 tahun pada 27 Mei 2026, iaitu melepasi had umur maksimum untuk menyertai perkhidmatan kerajaan.

Majeed berpendapat kelewatan luar biasa itu telah merampas peluang pekerjaan yang sepatutnya menjadi miliknya sejak bertahun-tahun lalu.

Kes itu menjadi lebih rumit apabila timbul pertikaian berkaitan tarikh lahirnya.

Menurut sijil persekolahannya (SSLC), tarikh lahir Majeed direkodkan sebagai 27 Mei 1966.

Namun, dia mendakwa tarikh sebenar kelahirannya ialah 27 Mei 1967, iaitu setahun lebih muda daripada rekod rasmi.

Majeed percaya pembetulan rekod tersebut mampu mengembalikan kelayakannya dan membolehkannya berkhidmat untuk jawatan yang didamkan sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun lagi.

Majeed kini telah mengemukakan petisyen kepada Menteri Pendidikan Kerala menerusi peguamnya dan kini menunggu maklum balas daripada pihak berkaitan.

Kisah luar biasa itu turut menjadi tular di media sosial.

Ramai pengguna mengecam kelewatan birokrasi yang berlaku dan mempersoalkan bagaimana proses pengambilan yang bermula pada tahun 2005 hanya sampai ke pengetahuan calon pada tahun 2026. -Agensi

Artikel Lain