suria

Alami kecederaan, peniaga belon buat laporan polis

Tangkap layar video insiden pergelutan antara anggota penguat kuasa DBKL dan peniaga belon.

PENIAGA belon, Muhamad Za’imuddin Azlan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di Kuala Lumpur, berhubung kecederaan yang dialaminya dalam insiden pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mac lalu.

"Saya hanya mencari sesuap nasi untuk diri saya dan keluarga," katanya pada Ahad, sambil ditemani ibunya, Hasnah Mat Isa dan peguamnya, Rafique Rashid.

Rafique berkata, mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang sebaik sahaja laporan perubatan penuh siap.

"Pada masa ini, kami mempunyai 'laporan rawatan', yang mengesahkan terdapat masalah perubatan berkaitan insiden itu," tambahnya.

Menurut Rafique, 'laporan rawatan' itu dikeluarkan oleh hospital Serdang, tempat peniaga itu menerima rawatan.

Laporan perubatan penuh dijangka mengambil masa antara 40 hari hingga sebulan untuk disiapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bergelut dengan penjaja belon, 3 anggota penguat kuasa DBKL digantung tugas

Rafique turut mempersoalkan kesahihan mengenai dakwaan bahawa Muhammad Za’imuddin mempunyai rekod jenayah lampau.

Ini berikutan laporan memetik sumber mengatakan peniaga belon itu mempunyai 13 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan dadah.

Rafique juga menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) supaya mendengar versi cerita peniaga itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Dilaporkan, dua daripada tiga kertas siasatan dibuka selepas berlaku insiden pergelutan antara peniaga belon dan pegawai DBKL yang dirujuk kepada AGC.

Pegawai penguatkuasa DBKL membuat dua laporan, manakala satu lagi dibuat oleh ibu Muhammad Za’imuddin.

Sebelum ini, tular video menunjukkan pergelutan antara Muhamad Za’imuddin dan sekumpulan pegawai DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman, dengan dia dijatuhkan ke tanah.

DBKL kemudian menyatakan bahawa insiden itu berlaku selepas peniaga berkenaan didakwa enggan bekerjasama dengan pegawai yang dikatakan sudah memberi amaran dua kali supaya berhenti berniaga tanpa lesen.

Dalam video seterusnya, peniaga itu menafikan dakwaan bahawa dia diberi amaran tiga kali oleh pegawai sebelum pergelutan berlaku.

Susulan insiden itu, menurut DBKL, pihaknya akan menyemak prosedur mereka dan menyiasat pergelutan antara pegawai penguatkuasa dan penjual belon tersebut.

DBKL memberitahu, pegawai-pegawai yang terlibat sudah membuat laporan polis mengenai insiden itu dan digantung sementara. -The Star

Artikel Lain

Nas Ahmad meninggal dunia