DUA beranak cedera selepas diserang oleh jiran mereka yang tiba-tiba mengamuk dalam kejadian di Felda Jengka Dua, Maran, Pahang pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, suspek yang merupakan lelaki berusia 57 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pembantu perubatan (MA) dari Hospital Jengka.
Menurut beliau, pihak polis menerima panggilan kecemasan memaklumkan tentang pergaduhan yang melibatkan seorang wanita dan dua lelaki di kawasan berkenaan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak polis mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri serta terikat kaki dan tangan oleh penduduk kampung.
“Menurut saksi, suspek yang juga jiran mangsa secara tiba-tiba telah mengamuk dan bertindak agresif sehingga mencederakan dua mangsa menggunakan pisau,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Bagaimanapun, pihak polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.
Mangsa wanita berusia 52 tahun mengalami kecederaan serius selepas ditikam pada bahagian perut sedalam tiga sentimeter selain cedera pada dagu dan tangan kanan.
Susulan itu, mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Seorang lagi mangsa, remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga anak saudara wanita tersebut, turut ditikam di bahagian peha kanan sedalam dua sentimeter dan sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.
Selepas insiden itu, empat lelaki ditahan untuk membantu siasatan dan akan direman sehingga proses bedah siasat ke atas mayat suspek di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan selesai pada Isnin.
“Selepas itu, baru siasatan ke atas empat suspek tersebut akan dapat diteruskan.
“Pihak forensik juga berjaya mendapatkan pisau yang digunakan untuk mencederakan mangsa,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Wong turut mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang gambar berkaitan suspek dan mangsa di media sosial kerana dikhuatiri mengganggu siasatan pihak polis.
“Tindakan perundangan akan dikenakan kepada yang bertanggungjawab menyebarkan gambar tersebut,” tegasnya.