PELAJAR yang disyaki terlibat dalam insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air sudah digantung persekolahan.
Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tindakan berkenaan diambil sementara siasatan terperinci dilakukan.
"Baru saja saya menerima laporan penuh bahawa memang benar peristiwa buli itu berlaku di salah sebuah MRSM di sebelah utara tanah air.
"Saya telah mengarahkan supaya suatu siasatan terperinci dilakukan.
"Dan dalam proses siasatan ini, pelajar-pelajar yang terbabit mestilah digantung terlebih dahulu agar pertamanya, tidak mengganggu proses siasatan.
"Dan kedua, memberi mesej yang jelas bahawa kita tak boleh berkompromi dalam isu terbabit," ujarnya menerusi video yang dimuat naik di Facebook, pada petang Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja kena henyak ramai-ramai, punggung dikorek! Asyraf Wajdi tegaskan tak berkompromi kes buli di MRSM
Tambah beliau, jika hasil siasatan mendapati insiden buli benar-benar belaku, Mara dan MRSM akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.
"Kita di peringkat Mara dan MRSM tidak akan sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan diambil
"Saya ingin mengingatkan kepada pelajar sama ada di MRSM mahupun di semua institusi pendidikan Mara, saya telah tegaskan beberapa kali prinsip 'You touch, you go'.
"Mara adalah medan untuk melahirkan pemimpin, mana mungkin kita nak melahirkan pemimpin yang dangkal akal budinya dan tercemar adan dan perilaku akhlaknya," tegasnya lagi.
Terdahulu tular video berdurasi 1.31 minit memaparkan seorang pelajar lelaki dibuli beberapa rakannya di mana kepala dan badannya dihenyak selain dilibas menggunakan tali pinggang.
Lebih mengejutkan, seorang individu yang memakai kopiah dilihat bertindak 'mengorek' bahagian punggung mangsa dari bahagian luar seluar.
Walaupun diperlakukan sebegitu, mangsa kelihatan tidak melawan dan hanya membiarkan dirinya terus dibelasah.