suria

Penduduk kampung gempar penemuan tengkorak, rangka manusia di sawah padi

Polis menjalankan siasatan serta pencarian saki-baki rangka bagi melengkapkan siasatan.

PENDUDUK digemparkan dengan penemuan tengkorak dan tulang dipercayai rangka manusia di sawah padi di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh.

Penemuan pada petang Isnin itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria.

Beliau berkata, petugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh menerima maklumat mengenai perkara itu kira-kira pukul 3 petang.

"Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Selising dan IPD Pasir Puteh ke lokasi kejadian dan menemukan tengkorak serta tulang dipercayai rangka manusia.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Menurut Zaizul Rizal, pihak forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hadir untuk menjalankan siasatan serta pencarian saki-baki rangka bagi melengkapkan siasatan.

Tambah beliau, kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Selising Sarjan Mejar Suhaimi Abdullah di talian 019-2424434 atau Bilik Gerakan IPD Pasir Puteh di 09-7867222," katanya.

Artikel Lain