TINDAKAN mulia seorang lelaki memberhentikan kenderaan dan membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kereta mewah jenis BMW, dalam kejadian awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, ketika kejadian yang berlaku pada pukul 2.10 pagi di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun sedang membantu seorang penunggang motosikal yang terbabas.
Menurutnya, terdahulu penunggang motosikal warga Myanmar berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan mangsa terjatuh atas jalan raya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Penunggang motosikal maut rempuh kereta berhenti bantu mangsa kemalangan
"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal jenis SYM BX11 yang berusia lingkungan 30-an terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Seorang lelaki tempatan kemudian datang membantu dengan menjaga laluan bagi mengelakkan mangsa dilanggar kenderaan lain," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Bagaimanapun, sebuah BMW yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun merempuh mangsa sehingga parah di bahagian dalaman dan dia turut disahkan meninggal dunia di lokasi.
"Pemandu BMW berkenaan pula hanya mengalami kecederaan ringan di muka dan siasatan mendapati dia memandu di bawah pengaruh alkohol," ujarnya.
Menurutnya, pemandu berkenaan telah ditahan dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.