suria

Anwar kenang kemuliaan hati Tun Abdullah, sifatkan arwah sentiasa menenangkan

Anwar berkongsi cerita mengenai Allahyarham menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

PERIBADI mulia Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi salah satu memori yang tersemat di hati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantarannya di Facebook pada Isnin malam, Anwar berkata Allaharyam yang dikenali dengan gelaran Pak Lah tidak pernah berkata buruk terhadap dirinya.

"Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. 

"Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas," tulis Anwar.

Former Prime Minister Tun Badawi

Tun Abdullah meninggal dunia pada petang Isnin.

Menurut Anwar lagi, Allahyarham merupakan insan yang tinggi dengan adab walaupun mereka tidak berada dalam parti politik yang sama.

"Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan. 

"Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan," kata Anwar.

Menerusi hantaran sama, Anwar turut mengimbas momen ketika dia menziarahi bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5 itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas PM Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Abdullah masuk IJN sehari sebelum hembus nafas terakhir

"Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba. 

"Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam.

"Selamat jalan, Pak Lah. Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. 

"Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang ditabur," tulis Anwar.

Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN)  pada pukul 7.10 petang Isnin.

Tun Abdullah merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, berkhidmat dari 31 Oktober 2003 hingga 2 April 2009.

Artikel Lain