AHLI Parlimen Raub, Chow Yu Hui ditahan bagi membantu siasatan polis.
Turut ditahan adalah Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan penahanan tersebut.
Menurut laporan Sinar Harian, Yahaya berkata dua individu itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, penahanan Ahli Parlimen DAP itu disahkan oleh peguamnya, dan berita penahanannya turut dikongsi menerusi laman Facebook pemimpin berkenaan.
"Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan mengemas kini maklumat terkini melalui Facebook dan media secepat mungkin," menurut kenyataan pentadbir laman Facebook itu.
Sebelum ini, polis memaklumkan mereka akan memanggil lima individu, termasuk Ahli Parlimen Raub bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas semasa operasi penguatkuasaan di sebuah kebun durian di Raub baru-baru ini.