POLIS mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Lima sebagai suspek utama kes pembunuhan dua beranak di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek didakwa menikam ibunya sendiri yang berusia 51 tahun beberapa kali ketika sedang tidur di bilik.
"Anak lelaki sulung mangsa (abang suspek) berusia 21 tahun, yang berlari membantu ibunya, turut ditikam.
"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, pada Khamis.
Dzulkhairi berkata, suspek turut cuba membunuh adik lelakinya yang berusia 13 tahun dan mangsa kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka.
ARTIKEL BERKAITAN: Guru, anak lelaki ditemukan maut di ruang tamu dipercayai dibunuh
Siasatan awal mendapati suspek menyimpan dendam terhadap ibunya, seorang guru di sebuah sekolah rendah vernakular kerana tertekan akibat dipaksa belajar untuk mencapai markah tinggi dalam peperiksaannya.
"Suspek didakwa dipaksa ibunya untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan belajar lewat malam.
"Jiran juga melaporkan sering mendengar pertengkaran antara suspek, ibunya dan adik-beradiknya," katanya.
Dzulkhairi berkata, suspek dipercayai melakukan pembunuhan itu kira-kira pukul 5 pagi dan menggunakan pisau lipat berukuran 20 sentimeter dalam serangan berkenaan.
"Kami menemui senjata dalam beg sekolah suspek di tempat kejadian. Apabila polis tiba, suspek sedang duduk di anjung rumah," katanya.
Tambahnya, suspek pada mulanya mendakwa pembunuhan itu adalah hasil rompakan.
"Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan sebaliknya, dan anggota polis menahannya di tempat kejadian.
"Kami percaya motif di sebalik pembunuhan adalah dendam, kerana suspek tidak berpuas hati apabila ibunya memberi tekanan untuk belajar," ujarnya sambil menambah, suspek telah merancang serangan berkenaan dan membeli pisau beberapa hari sebelum kejadian.
Difahamkan suspek akan direman di Kompleks Mahkamah Melaka, pada Jumaat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.