POLIS mengesahkan bahawa pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada awal pagi Isnin, telah ditahan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemandu berusia 39 tahun itu ditahan selepas dibenarkan keluar dari hospital, sekitar pukul 5.45 petang Khamis.
Ujarnya, suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
ARTIKEL BERKAITAN: “Bersabarlah sedikit...” - Polis minta pemandu bas tidak keluarkan kenyataan
"Kita menunggu arahan lanjut daripada Pengarah Pendakwaan Negeri sama ada pemandu bas itu boleh didakwa di mahkamah esok atau sebaliknya," katanya dipetik Sinar Harian.
Suspek sebelum ini dirawat di Hospital Taiping berikutan mengalami kecederaan di tangan akibat nahas terbabit.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, seramai 15 penuntut UPSI terkorban selepas bas persiaran yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan terbabas di kiri jalan.
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke UPSI di Tanjung Malim, Perak.