suria

Nurul Izzah ikrar bela nasib remaja dakwa diraba ustaz selebriti - “Saya tak akan berundur walau selangkah!”

Nurul Izzah bertekad membela nasib seorang remaja yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang ustaz selebriti. -Foto FB Nurul Izzah

PENGALAMAN menonton persembahan nasyid bersama seorang individu bergelar ustaz selebriti bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang remaja apabila dia mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual lelaki tersebut.

Kisah yang menimpa remaja berkenaan didedahkan oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menerusi satu hantaran di Facebook, pada Ahad.

Menurut Nurul Izzah, ustaz terbabit licik menggunakan taktik dengan mengumpan mangsa yang meminati nasyid agar mengikutnya menonton persembahan di sebuah negeri.

"Adik (mangsa) tak rasa curiga, sebab dia percaya. Dalam fikirannya, ustaz itu adalah insan yang baik, dihormati dan tokoh pembimbing agama.

"Namun, malam itu segalanya berubah. Ustaz tu mula masukkan tangan dia dalam seluar adik dan meraba-raba. Adik keliru. Takut. Seorang diri.

"Dia tolak tangan ustaz itu sekuat mungkin, berlari ke tandas dan mengurung diri selama lima jam dalam ketakutan. Bila lihat ustaz itu sudah tertidur, adik terus melarikan diri dari bilik hotel dan menelefon ahli keluarganya sambil menggigil," kongsinya.

Menurut Nurul Izzah, keluarga remaja berkenaan membuat laporan polis selepas insiden itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh ‘ustaz’ didakwa lakukan gangguan seksual terhadap wanita berniqab, hantar 11 video lucah

Mengejutkan apabila mereka dimaklumkan bahawa sudah ada beberapa laporan polis lain terhadap suspek sama sebelum ini, namun tiada tindakan diambil sejak laporan pertama.

"Kisah mereka tidak tamat di situ. Beberapa hari lalu, keluarga ini pula disaman oleh ustaz tersebut dengan saman fitnah bernilai ratusan ribu ringgit, mereka diminta membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi siaran akhbar.

"Mereka adalah keluarga B40. Simpanan pun hampir tiada. Seluruh keluarga menangis," tulisnya.

Justeru, Nurul Izzah berikrar untuk membela nasib mangsa dan mengheret suspek ke muka pengadilan agar menerima hukuman setimpal atas jenayah dilakukannya.

"Adik ini pernah bercita-cita mahu menjadi seorang cikgu. Tetapi kini dia trauma, perlu rawatan kaunseling bulanan. Dia bergantung pada ubat. Keputusan pelajarannya menjunam.

"Namun satu yang pasti, saya tidak akan berundur walau selangkah. Kalau mereka mahu saman, saya akan lawan. Saya akan bawa pasukan peguam.

"Saya akan pastikan adik ini dilindungi, dan keadilan itu akhirnya berpihak kepada yang benar, Insya-Allah," tulisnya.

Artikel Sebelum

Tun M dibenar keluar IJN

Artikel Lain