suria

Perjalanan pulang berakhir tragedi... Guru sekolah agama maut kereta bertembung lori mesin gerudi

Mangsa, Nurfarah Izyan Ismail meninggal dunia selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori mesin gerudi di Jalan Besar Jengka 20, Maran. -Foto Ihsan PDRM

SEORANG guru wanita maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan lori mesin gerudi di Jalan Besar Jengka 20, dekat Maran, pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Nurfarah Izyan Ismail, 28, dalam perjalanan dari Sekolah Menengah Agama (SM) Al-Basriah Kuala Tembeling, Jerantut menuju ke rumahnya dekat Sungai Gau di Temerloh.

Ujarnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk arah bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis Isuzu.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan 6 beranak terjawab… Orang ramai kecoh jumpa kereta di dasar Sungai Korok

"Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori iaitu lelaki berusia 51 tahun patah paha kiri," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Ujarnya, dua penumpang lori di bahagian hadapan iaitu lelaki berusia 25 dan 45 tahun mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi penumpang di bahagian belakang iaitu lelaki berusia 53 tahun, tidak mengalami kecederaan.

Jelasnya, kesemua mereka dihantar ke Hospital Jengka untuk rawatan lanjut dan bedah siasat dijalankan di hospital sama.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

 

Artikel Lain