TUN Dr Mahathir Mohamad tampil membuat permohonan maaf susulan terpaksa meninggalkan lebih awal program Picnic & Potluck di Putrajaya pada Ahad, kerana mengalami keletihan.
Menerusi hantaran di akaun media sosial @chedetofficial, negarawan tersebut turut berkongsi keadaan semasanya yang sudah pulih selepas menerima rawatan.
Lebih menambah rasa sayu apabila beliau yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 tahun pada 10 Julai lalu menyatakan akan kembali pada rutin harian untuk bekerja.
Antara pengunjung yang hadir. -Foto chedetofficial
"Saya mohon maaf kerana semalam saya tak dapat bersama di waktu kita ada piknik yang mana ribuan yang hadir kerana saya rasa terlalu letih dan terpaksa berehat.
"Doktor minta saya ke hospital dan kemudian dibenarkan untuk pulang.
"Sekarang saya dah pulih setelah dirawat oleh doktor dan saya boleh teruskan cara hidup saya iaitu bekerja," kongsinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tun M dibenar keluar IJN
Bekas perdana menteri itu turut memuat naik beberapa keping gambar beliau beramah mesra bersama pengunjung ketika acara berkenaan.
Hantaran tersebut mengundang reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya meluahkan rasa sayu dan mendoakan beliau dikurniakan kesihatan yang baik.
Warga maya mendoakan kesihatan Tun M.
"Janji Tun sihat, rehat dahulu sebab cuaca pun panas sangat sekarang ni. Tak sesuai untuk aktiviti luar lama-lama.
"Ayahanda Tun tak perlu mohon maaf. Penganjur yang alpa dengan keadaan Tun dan tak peka sampai Tun tak sihat. Kami sayang Tun berdua.
"We love you (Kami sayang awak) ayahanda Tun. Semoga diberikan kesihatan yg baik berterusan," demikian reaksi warga maya.