RIBUAN orang berhimpun di Sandakan dan Tawau pada malam Jumaat bagi menuntut keadilan buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Di Sandakan, perhimpunan di Harbour Square menarik kehadiran orang ramai seawal pukul 6 petang.
Peserta membawa sepanduk, mendeklamasi puisi dan mengalunkan doa untuk Zara Qairina, manakala beberapa aktivis serta wakil rakyat tempatan turut berucap kepada hadirin.
Salah seorang penganjur, Mohamad Khadir Abdul Jalil, berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda solidariti dan simpati terhadap Zara Qairina.
“Kami hanya mahukan kebenaran daripada pihak berkuasa dan keadilan buat Zara Qairina. Itu fokus kami malam ini,” katanya sambil menggesa orang ramai supaya tidak membuat kenyataan berbaur fitnah atau menyinggung, serta membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan sepenuhnya.
Di Tawau, perhimpunan di bulatan Chester Night Market menyaksikan orang ramai berpakaian serba hitam sebagai tanda solidariti.
Peserta memegang plakad dan melaungkan slogan “Justice for Zara” dan “Stop bullying” sepanjang malam.
ARTIKEL BERKAITAN:Kubur Zara Qairina akan digali semula, Jabatan Peguam Negara arah bedah siasat
Difahamkan, perhimpunan serupa turut diadakan di Lahad Datu dan Semporna pada malam yang sama, manakala acara di daerah lain termasuk Sipitang, Papar, Ranau, Kundasang, Telupid, Kudat dan Keningau dijadualkan berlangsung dalam beberapa hari akan datang.
Dalam pada itu, beberapa video di sekitar himpunan berkenaan turut tular di TikTok dan dihujani pelbagai komen netizen.
Ramai netizen meluahkan rasa sayu dan mengakui tumpah air mata melihat perjuangan orang ramai demi Allahyarham Zara.
"Menitis air mata melihat begitu ramai insan berhati mulia menuntut keadilan untuk arwah Zara.
"Apa amalanmu Zara sayang sehingga Allah membuka mata hati semua penduduk dunia untuk membelamu?
"Ya Allah, ramainya yang mendoakan arwah, yang memperjuangkan keadilan buat arwah," tulis netizen.
Untuk rekod, Zara Qairina disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Sabah pada 17 Julai, sehari selepas dia dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.
Keluarganya percaya kematiannya mempunyai kaitan dengan kes buli.