suria

Proses gali kubur Zara Qairina selesai, ambil masa 2 jam

Proses penggalian semula kubur arwah Zara Qairina berakhir pada pukul 7.15 malam.

PROSES penggalian kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir selesai pada pukul 7.15 malam Sabtu.

Jenazah kemudiannya dibawa keluar dari kawasan Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang di Sabah menggunakan trak polis.

Ia bagi membolehkan proses bedah siasat dilakukan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

ARTIKEL BERKAITAN: Kubur Zara Qairina akan digali semula, Jabatan Peguam Negara arah bedah siasat

Pelaksanaan kerja penggalian dilakukan oleh Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut disaksikan beberapa pihak lain termasuk pasukan peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Zara Qairina.

Hamid ketika ditemui pemberita selepas keluar dari tanah perkuburan memaklumkan bahawa proses tersebut berjalan lancar.

"Proses bedah siasat akan dijalankan pada pukul 9 pagi esok di HQE I," katanya.

Orang ramai datang untuk menyaksikan proses penggalian semula kubur arwah Zara Qairina.

Orang ramai datang untuk menyaksikan proses penggalian semula kubur arwah Zara Qairina.

Terdahulu, proses penggalian semula kubur mengambil masa selama hampir dua jam meskipun dalam keadaan hujan lebat.

Kawasan tanah perkuburan turut menjadi tumpuan penduduk kampung sejak pukul 2 petang.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan menghampiri kawasan penggalian, dan tali garisan polis dipasang kira-kira 50 meter dari tanah perkuburan.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Malah ibu mangsa turut menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan telefon di antara dia dan Zara kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada Khamis.

Untuk rekod Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar pada 16 Julai lalu.

Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia di HQE I pada pukul 11 pagi, 17 Julai.

Sejak kejadian, pelbagai spekulasi dan teori tular di media sosial termasuk dakwaan membabitkan unsur jenayah dan buli.

Artikel Lain