suria

Pengetua, Penolong Kanan HEM, warden SMKA Tun Datu Mustapha ditempatkan sementara di JPN Sabah

Kes Zara Qairina mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan buli.

PENGETUA, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sehingga siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pada Rabu berkata keputusan ini susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasukan petugas khas Bukit Aman turun ke Sabah, ambil alih siasat kes Zara Qairina

"Kementerian akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, teliti dan tuntas.

"Sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini, kes ini menjadi keutamaan kementerian pada masa ini.

"Kementerian berharap siasatan yang telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi memastikan keadilan buat keluarga dan semua pihak yang terlibat," kata kenyataan itu.

Zara Qairina, 13, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang di bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.

Allahyarham meninggal dunia sehari selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Kematian remaja itu mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan buli.

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia