PEGUAM Negara gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan tersebut diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Susulan itu, permohonan semakan kehakiman berkenaan akan diteruskan serta diputuskan Mahkamah Tinggi di hadapan hakim baharu, berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Titah Adendum terbabit dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 29 Januari tahun lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah (house arrest), bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
ARTIKEL BERKAITAN: Rayuan Najib berjaya, keputusan majoriti 2-1... Titah Adendum dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi
Peguam Negara selaku perayu juga gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu, supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Selepas mengemukakan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.