SEORANG penumpang maut manakala 18 lagi cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tebing bukit di Kilometer (KM) 293.4, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di Bangi, Selangor, awal pagi Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.57 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bergegas ke lokasi kejadian.
Ahmad Mukhlis berkata, jentera bantuan dari BBP KLIA dan BBP Seri Kembangan turut dikerah bagi membantu operasi menyelamat.
"Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan bas ekspres yang terbabas sendiri lalu melanggar tiang papan tanda lebuh raya.
"Terdapat 19 mangsa termasuk pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan itu. Seorang mangsa lelaki tempatan berusia 59 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah Ahmad Mukhlis, tiga lagi mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada pukul 3.48 pagi, manakala selebihnya sempat merangkak keluar dari bas sebelum pasukan penyelamat tiba.
Jelasnya, 17 penumpang dan seorang pemandu bas mengalami kecederaan dan menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan kecemasan di lokasi kejadian.


