SEORANG pelajar perempuan berusia 15 tahun kini mengalami trauma dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol dua pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka.
Lebih mengejutkan, kejadian yang dikatakan berlaku di sebuah kelas kira-kira pukul 2.50 petang pada minggu lalu itu turut dirakam menggunakan telefon bimbit sambil disaksikan dua pelajar lain.
Memetik Sinar Harian, insiden pada 2 Oktober lalu terbongkar selepas rakaman video berkenaan tersebar dalam kalangan pelajar sebelum dimaklumkan kepada pihak sekolah dan diketahui ibu mangsa pada petang Jumaat.
Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga itu dilapor berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.
Namun katanya, mangsa segera mahu beredar setelah menyedari dua pelajar lelaki senior berusia 17 tahun menghendapnya dari celah pintu kelas.
"Tetapi suspek pertama tiba-tiba menarik tangannya, menutup mulut dan menolaknya semula ke dalam kelas.
"Manakala seorang lagi suspek bertindak mengawal kawasan tangga dan dua rakan mereka turut berada di dalam kelas menyaksikan perbuatan terkutuk itu," katanya.
Katanya lagi, seorang daripada mereka merakam kejadian menggunakan telefon bimbit milik suspek pertama, manakala seorang lagi menjaga kawasan kelas.
Mangsa yang trauma dan ketakutan enggan ke sekolah selepas kejadian itu sehinggalah ibunya dimaklumkan oleh guru tentang penyebaran video berkenaan.
"Selepas melihat video tersebut, ibu mangsa membawa anaknya membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah.
"Mangsa kini dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut dan masih menjalani rawatan serta sesi kaunseling," ujarnya lagi.
Susulan laporan polis, empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang dijangka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan November telah ditahan pada hari sama laporan dibuat.
Semua suspek direman enam hari sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kes ini.


