MULAI Isnin, rakyat Malaysia bakal menikmati tahap keselamatan digital yang lebih kukuh susulan integrasi teknologi pengesahan identiti MyDigital ID oleh semua syarikat telekomunikasi ke dalam aplikasi mudah alih masing-masing.
MyDigital ID dalam kenyataan mengesahkan bahawa inisiatif nasional itu bertujuan melindungi pengguna daripada panggilan scam, penyamaran identiti dan penipuan yang melibatkan nombor SIM tidak sah atau disalah guna.
Inisiatif ini disokong oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi memastikan setiap nombor telefon bimbit sepadan dengan identiti yang sah dan dipercayai.
Ia merangkumi tiga komponen utama iaitu pengesahan nombor prabayar sedia ada (whitelisting); pendaftaran SIM baharu dan proses log masuk ke aplikasi telco menggunakan MyDigital ID.
Ketua Pegawai Eksekutif NACSA, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata pelaksanaan setiap komponen mungkin berbeza mengikut penyedia perkhidmatan, namun matlamatnya sama - menghalang penjenayah daripada mengeksploitasi SIM tidak disahkan bagi kegiatan haram.
“MyDigital ID memainkan peranan penting kerana proses pengesahan identitinya merujuk terus kepada rekod rasmi kerajaan yang diselia Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Inisiatif pelbagai pihak ini turut mengukuhkan pelaksanaan Pelan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025–2030 yang diketuai NACSA.
“Ia memastikan ekosistem siber negara kekal selamat dan berdaya tahan menghadapi ancaman semasa dan masa depan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim pula berkata nombor telefon bimbit sering disalah guna untuk aktiviti jenayah seperti scam dan penipuan identiti.
“Awal tahun ini, laporan menunjukkan jumlah panggilan scam pada 2024 mencecah 2.98 juta, hampir dua kali ganda berbanding 1.63 juta pada 2023.
“Dengan identiti digital yang disahkan, kita dapat mengurangkan risiko jenayah sebegini, mengukuhkan kepercayaan digital dan meningkatkan keselamatan serta mengurangkan ketirisan dalam ekonomi digital,” katanya.
Menangani kebimbangan orang ramai mengenai privasi dan keselamatan data, Nik Hisham menjelaskan bahawa MyDigital ID tidak menyimpan data pengguna, tidak menjejak aktiviti dalam talian dan tidak mengumpul maklumat baharu.
Beliau menegaskan bahawa fungsi MyDigital ID hanyalah untuk mengesahkan identiti apabila pengguna memilih untuk log masuk ke sesuatu perkhidmatan dan ia hanya dilakukan dengan kebenaran penuh pengguna.
“Prinsip kami mudah: data anda adalah milik anda, sentiasa. Dengan MyDigital ID, ia kini lebih selamat berbanding sebelum ini,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing bagi maklumat lanjut mengenai penggunaan MyDigital ID.
MyDigital ID dibangunkan untuk memperkukuh dan memudahkan pengesahan identiti dalam talian tanpa menggantikan sistem MyKad.
Ia berfungsi sebagai sistem log masuk tunggal untuk perkhidmatan digital, menawarkan keselamatan lebih tinggi dan akses lebih mudah ketika menggunakan perkhidmatan serta menjalankan transaksi dalam talian.


