suria

Laporan nahas UPSI: Bas dipandu laju hampir 2 kali ganda had ditetapkan, sistem brek terjejas

Keadaan kemalangan membabitkan bas UPSI di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik pada Jun 2025.

KEGAGALAN sistem brek dan sikap pemandu semasa menuruni cerun disahkan sebagai punca kemalangan maut melibatkan bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (Jeli–Gerik), Perak, pada 9 Jun tahun lalu.

Berdasarkan laporan akhir oleh Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan, sistem brek bas terjejas akibat perubahan bentuk dan kehausan brake drum belakang sebelah kiri.

Pada masa sama, terdapat pencemaran minyak gris di brake lining dan ketidakseragaman komposisi bahan lining

Situasi yang berlaku itu didapati telah mengurangkan daya geseran brek dan mempercepatkan berlakunya fenomena brake fade.

Laporan turut mendedahkan, bas dipandu pada kelajuan yang melebihi kelajuan selamat di laluan berkenaan.

"Penggunaan brek secara agresif pada kelajuan tinggi menyebabkan peningkatan suhu komponen brek secara mendadak.

"Seterusnya memburukkan degradasi haba dan mengurangkan keberkesanan brek secara progresif.

Keadaan mangsa kemalangan.

Keadaan mangsa kemalangan.

"Gabungan kegagalan brek dan kelajuan berlebihan ini menyebabkan bas hilang kestabilan, tergelincir dan terbalik," demikian menurut laporan setebal 188 muka surat itu. 

Laporan tersebut turut menyatakan, situasi bas yang menghentam penghadang W-beam sehingga menembusi ruang kabin bas, mengakibatkan kecederaan parah serta kematian penumpang.

Malah hasil dapatan analisis yang dilakukan, corak kerosakan yang terdapat pada bas adalah konsisten dengan impak lateral berkelajuan tinggi serta interaksi langsung dengan penghadang jalan berkenaan.

Hasil analisis video menganggarkan bahawa kelajuan bas semasa kejadian adalah sekitar 114.7 km/j.

Ia sekali gus menggambarkan bahawa bas berkenaan melepasi julat kelajuan kritikal bagi kejadian kenderaan terbalik yang dianggarkan antara 111.3 km/j hingga 114.5 km/j.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UPSI cerita keadaan dalam bas selepas terbalik, nampak kawan-kawan tak sedarkan diri - “Saya keluar ikut tingkap”

ARTIKEL BERKAITAN: Bas bawa pelajar UPSI kemalangan di Gerik, sekurang-kurangnya 15 maut

Tambahan pula, laluan di lokasi kejadian direka bentuk untuk kelajuan sekitar 70km/j, dengan had laju peraturan di kawasan kemalangan ditetapkan pada 60km/j.

Bagaimanapun, hasil ujian toksikologi menunjukkan bahawa pemandu bas tidak berada di bawah pengaruh alkohol, dadah, atau sebarang bahan terlarang semasa kemalangan berlaku. 

Namun pemandu didapati mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi, dengan 13 daripada 18 saman trafik masih belum dijelaskan.

"Majoriti saman melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju. Pemandu sendiri mengakui mempunyai 'belas-belas' saman dan mengesahkan bahawa kebanyakan kesalahan berkaitan kelajuan," tambah laporan itu.

Malah pemandu kedua atau kelindan juga mempunyai 13 rekod kesalahan trafik dan sembilan saman daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang belum diselesaikan.

Lebih mengejutkan apabila lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) miliknya telah tamat pada 10 November 1998.

Dalam pada itu, laporan turut mendedahkan faktor keadaan dan persekitaran jalan turut berkait rapat dengan punca kemalangan.

Menurut laporan, semua garisan jalan termasuk garisan berkembar dan garisan tepi, pudar atau tidak jelas kelihatan yang berkemungkinan akibat hakisan mahupun kekurangan penyelenggaraan.

Bas persiaran juga didapati beroperasi secara tidak sah susulan syarikat yang mengendalinya tidak memiliki lesen atau permit sah untuk pengoperasian di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

"Kenderaan ini beroperasi menggunakan permit yang didaftarkan atas nama Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd, pemegang lesen sah pengendali bas.

"Penggunaan permit oleh pihak ketiga tanpa kelulusan merupakan pemajakan lesen kenderaan perdagangan, yang melanggar Seksyen 49 (1) Akta 715 dan menjejaskan akauntabiliti operasi pengangkutan," jelasnya.

Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) termasuk pembatalan lesen Kenari Utara Travel & Tours pada 13 Jun tahun lepas.

Artikel Lain