suria

“Doakan video SOS tak disiarkan” – Ahmad Faezal sertai Misi Sumud Flotilla, lima peserta Malaysia sudah berangkat pada Rabu

Ahmad Fezal (kiri) mengumumkan penyertaannya dalam pelayaran GSF 2.0 pada 12 April depan.
1 / 1

PEMPENGARUH media sosial, Ahmad Faezal mengumumkan penyertaannya dalam pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bersama Misi Sumud Nusantara pada 12 April depan.

Beliau yang juga penganalisis geopolitik menandatangani dokumen Power of Attorney sebagai sebahagian daripada persiapan sebelum menyertai pelayaran tersebut.

"Saya akan buat yang terbaik untuk wakili Malaysia sampai tiba di Tanah Jauh (Palestin).

"Sama-sama kita doakan video SOS (kecemasan) semua peserta Sumud tak perlu disiarkan. Kita belayar untuk memecahkan pengepungan," katanya menerusi Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: Laungan takbir dan air mata sambut ketibaan sukarelawan GSF

ARTIKEL BERKAITAN: Masih ramai ‘kabur’, tertanya-tanya... Ini 12 fakta Global Sumud Flotilla setiap orang perlu tahu

Perkongsian tersebut memaparkan Ahmad Faezal yang turut memiliki 2.8 juta pengikut di TikTok menyarung jaket Sumud Nusantara sambil memegang pasport Malaysia.

Ia juga petanda bahawa Ahmad Faezal turut merakam hantaran mesej SOS kecemasan sebagai persediaan sekiranya ditahan pihak Zionis.

Sementara itu, peserta GSF sebelum ini, Rahmat Ikhsan atau PU Rahmat memaklumkan kumpulan pertama Sumud Nusantara kali ni berangkat pada Rabu.

Namun, identiti lima individu yang berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tersebut terpaksa dirahsiakan terlebih dahulu.

"Identiti mereka masih dirahsiakan demi menjaga maslahah lebih besar. Selamat berjuang sahabat ku. Semoga keberkatan Allah bersama kalian," katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Malaysia menghantar 34 aktivis menyertai GSF, dengan 23 daripada mereka meneruskan pelayaran memasuki Zon Merah 3 ke Gaza.

Namun, pada 2 Oktober semua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel sebelum dibawa ke penjara Ketziot.

Selepas beberapa hari, kesemua mereka dibebaskan dan pulang ke Malaysia pada 7 Oktober 2025.

Artikel Lain