SEBANYAK 13 laporan polis dibuat terhadap sebuah akhbar berbahasa Cina berhubung kesilapan pada ilustrasi Jalur Gemilang yang dipaparkan di muka hadapan akhbar tersebut, kata Tan Sri Razarudin Husain.
Ketua Polis Negara itu berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung perkara tersebut.
"Kami sudah menerima 13 laporan polis yang dibuat, oleh itu kami telah memulakan siasatan.
"Kami melakukan siasatan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kesilapan papar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit tidak boleh diterima - Agong
Terdahulu, akhbar berbahasa Cina berkenaan mengeluarkan permohonan maaf dalam tiga bahasa berhubung isu kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu.
Permohonan maaf itu dibuat dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina.
Akhbar itu dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi tersebut disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
"Kami menyusun memohon jutaan maaf kepada semua rakyat Malaysia.
“Pindaan segera sudah dilakukan terhadap ilustrasi versi digital manakala ilustrasi dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula pada Rabu dalam versi cetakan akhbar kami,” katanya. -The Star